Penduduk Di Gugusan Felda Sahabat Selamat - Ahmad Maslan

Diterbitkan: Rabu, 6 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kesemua 15,500 peneroka, anggota keluarga serta pekerja di gugusan Felda Sahabat, yang terletak berhampiran Kampung Tanduo di mana pihak berkuasa melancarkan serangan ofensif, setakat ini berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan sejak pengganas menceroboh kawasan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata seramai 1,000 pekerja di Felda berhampiran kawasan serangan diberi cuti kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini kepada mereka.

"Kita telah mengarahkan cuti terutama di kawasan ladang yang berhampiran dengan Kampung Tanduo iaitu Ladang Felda Sahabat 17, 18, 19, 22 dan 56. Untuk esok, sekiranya operasi belum selesai, cuti mereka juga patut diteruskan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata seramai 10,000 pekerja turut diberi cuti Sabtu lepas atas alasan sama, dan kawalan keselamatan sekitar gugusan Felda itu turut dipertingkat dengan kerjasama Polis Bantuan Felda, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Ahmad berkata pihaknya juga mengeluarkan amaran agar penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dan mereka tidak dibenar keluar, khususnya Felda Sahabat 3, 4 dan 5 kerana ia kawasan berpenduduk paling hampir dengan Kampung Tanduo, selain mematuhi nasihat pihak keselamatan.

Beliau berkata penduduk di kawasan itu juga tidak berdepan sebarang kesukaran untuk mendapat bekalan makanan atau keperluan harian.

Ahmad turut menasihati penduduk agar segera melaporkan kepada pengurus ladang jika ada pengganas menyelinap di kawasan itu, untuk dimaklum kepada anggota keselamatan yang bertugas.

"Felda Sahabat memberi kerjasama sepenuhnya kepada anggota keselamatan dalam melaksanakan tugasan mereka bagi menyelesaikan tragedi Lahad Datu ini," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan operasi Felda akan terjejas jika insiden itu berpanjangan, terutama di Ladang Felda Sahabat 17, 18, 19, 22 dan 56, yang hanya akan beroperasi semula sekiranya diisytihar selamat.

Katanya, setiap ladang mempunyai 300 pekerja terdiri daripada penduduk tempatan serta pekerja asing yang diambil secara sah dari Indonesia dan sejumlah kecil dari Filipina.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan