Manifesto Pembangkang Menipu Rakyat - TPM

Diterbitkan: Rabu, 6 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR GUDANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan manifesto pilihan raya pakatan pembangkang sebagai penipuan terhadap rakyat di negara ini.

Beliau berkata segala yang dijanjikan parti pembangkang akan menyebabkan negara ini mengalami defisit lapan peratus.

"Kita sudah selesai kaji manifesto pihak pembangkang. Kita cuba mengekalkan defisit pada kadar empat peratus sahaja. Kalau pembangkang, defisit itu akan mencecah sampai lapan peratus," katanya.

Defisit itu, katanya, akan menyebabkan negara mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga pelabur luar hilang kepercayaan terhadap negara ini dan kemudiannya Bank Dunia akan melabelkan Malaysia sebagai negara yang bankrap.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia, Gelombang Biru Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata kerajaan memperuntukkan RM42 bilion setahun untuk memberi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan pelajar dan jika PTPT Ndihapuskan maka ia akan menyebabkan ramai yang tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang tinggi.

Justeru, untuk mencapai kemenangan cemerlang pada pilihan raya umum ke-13, beliau menyeru semua anggota BN supaya memperkukuh kerjasama di semua peringkat, membuang segala masalah antara mereka, menerima siapa sahaja calon yang diputuskan kepimpinan BN, setia kepada parti dan memastikan semangat juang yang sentiasa tinggi.

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota parlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan presiden-presiden parti komponen BN Semenanjung Malaysia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan