Bekas PTD Tan Sri Hashim Sertai PKR

Diterbitkan: Rabu, 6 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Tan Sri Mohd Hashim Hussein
Tan Sri Mohd Hashim Hussein

PETALING JAYA: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) ke-18, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Hashim Hussein pada Rabu mengumumkan secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan turut menyatkan sokongan penuh terhadap perjuangan Pakatan Rakyat yang disifatkannya lebih ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat.

"PR ada suatau kualiti yang penting sebab Anwar boleh bawa harmoni dalam parti. Kualiti kepimpinan sebegini sangat penting dalam mentadbir negara," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini, Rabu.

Beliau mendakwa dirinya tidak dipujuk oleh mana-mana pihak sebaliknya beliau secara sukarela ingin menyertai parti itu.

Dalam perkembangan lain, Hashim berkata inisden di Lahad Datu sepatutnya boleh ditangani dalam masa lebih singkat seperti peristiwa kumpulan Al-Maunah di Sauk pada 2000 yang hanya mengambil masa empat hari.

Katanya, operasi pihak keselamatan dalam peristiwa itu dilakukan dalam masa lebih singkat kerana terdapat rantaian perintah yang lebih jelas.

"Sepatutnya ada rantaian arahan yang jelas tetapi buat masa ini saya tak fikir ia berlaku.

"Jika saya boleh bandingkan dengan Sauk, kita mampu selesaikan dalam masa empat hari.

"Kenapa? Kerana kita ada struktur arahan yang jelas dan penggemblengan (tentera dengan) segera," katanya .

Beliau yang bersara pada 2002, bagaimanapun menjelaskan bahawa pendangannya itu mungkin berbeza sekiranya melihat sendiri keadaan di lapangan.

Pada 9 Febaruari lalu, kumpulan penceroboh yang dianggotai lebih 100 orang itu diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, masuk ke Sabah dan tinggal di Kampung Tanduo yang terletak kira-kira 100 kilometer daripada Lahad Datu.

Kumpulan berkenaan sebelum ini menuntut pengiktirafan sebagai tentera Sulu daripada kerabat Sultan Sulu, meminta agar komuniti Sulu, yang telah lama berada di Sabah tidak dihantar pulang.

Pada pagi Selasa, pasukan keselamatan negara melancarkan serangan ofensif di kawasan Kampung Tanduo bagi menyelesaikan krisis pencerobohan yang berlarutan sejak tiga minggu lalu.

Serangan itu dilakukan berikutan penceroboh bersenjata bertindak menyerang dan membunuh lapan anggota polis dalam dua kejadian berasingan di Lahad Datu dan Semporna pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam dua kejadian berasingan masing-masing pada dua anggota komando polis VAT 69 terkorban apabila ditembak pada jarak dekat oleh kumpulan bersenjata Sulu sementara enam anggota polis lagi terbunuh dalam satu serangan hendap oleh yang sama di Kampung Simunul, Semporna.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan