Penduduk Keturunan Sulu Diharap Bersama Malaysia Tangani Krisis Pencerobohan

Diterbitkan: Selasa, 5 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap masyarakat keturunan Sulu di negara ini, khususnya di Sabah, menyokong kerajaan Malaysia berhubung operasi ofensif terhadap kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo di sini.

"Kita hanya fokus kepada pengganas yang datang dari Sulu. Saya harap rakan-rakan kita berketurunan Sulu di Sabah dan seluruh negara tetap bersama-sama dengan kerajaan.

"Kita harus membezakan antara pengganas Sulu dengan orang Sulu yang berada di Sabah, sama ada mereka merupakan rakyat Malaysia berketurunan Sulu atau mereka yang mendapat taraf penduduk tetap di Sabah," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Felda Residence Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari sini.

Sambil meminta masyarakat keturunan Sulu tidak mengendahkan khabar angin berkaitan kemungkinan tindakan diambil terhadap mereka, beliau menegaskan sebagai kerajaan bertanggungjawab, Malaysia akan menjaga kepentingan kaum itu di negara ini.

Beliau juga berkata anggota tentera dari tiga cabang perkhidmatan serta polis sentiasa bersiap siaga dengan menempatkan anggota masing-masing di lokasi tertentu bagi mengelak kemungkinan pencerobohan lain berlaku. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan