Umno Tuntut Tian Chua Minta Maaf

Diterbitkan: Isnin, 4 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bakal berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan di Sabah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menerusi notis tuntutan yang dihantar melalui Penasihat Undang-undang Umno, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Ahli Parlimen Batu itu turut diminta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat.

"Segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej Umno.

"Ia juga turut bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik," katanya pada Isnin.

Tindakan undang-undang itu dibuat terhadap Tian berikutan kenyataannya dalam KeadilanDaily.com pada 1 Mac lalu yang bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno - Tian'.

"Notis dihantar kepada Tian Chua dengan menuntut beliau dalam masa tujuh hari bermula hari ini, 4 Mac untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu ini atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.

"UMNO tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklum balas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit, maka bermakna Tian Chua tidak menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah.

"Oleh itu, Umno akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap Tian Chua tanpa sebarang rujukan kepada beliau termasuklah untuk memfailkan injuksi bagi menghalang penerbitan lanjut berkaitan isu ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan