PM Seru Belia Sertai Kegiatan Sukarela

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menyeru belia Malaysia supaya berbakti kepada masyarakat dengan melibatkan diri dalam lebih banyak kegiatan sukarela.

Perdana Menteri berkata beliau ingin melihat suatu hari nanti, golongan belia di negara ini akan berganding bahu bukan sahaja untuk membantu satu sama lain, tetapi juga membantu masyarakat melalui semangat kesukarelaan.

"Paling penting, anda tidak mengharapkan balasan. Apa yang akan anda peroleh ialah pencapaian peribadi dan kepuasan hati kerana telah dapat menyumbang sesuatu.

"Saya percaya, sekiranya anda menyumbang sesuatu dan membantu orang lain, anda akan berasa sungguh gembira...percayalah kata-kata saya ini. Rasa yang begitu hebat itu tidak boleh anda dapat melalui kegiatan lain," kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Belia dan Kesukarelaan iM4U di Kampus Tepian Tasik Taylor's University di sini.

1Malaysia for Youth (iM4U) merupakan platform bagi belia Malaysia untuk menjalankan kerja kesukarelaan bagi manfaat masyarakat dan kumpulan sosial.

Platform itu juga menyediakan sokongan kewangan bagi membiayai projek kesukarelaan melalui Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M).

Najib berkata belia Malaysia juga perlu mengenang jasa mereka yang terkorban dalam mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara ini.

"Malang sekali, pada Jumaat kita kehilangan dua anggota polis yang bersemangat waja kerana terkorban ketika bertugas untuk memastikan kita dapat hidup dengan aman di negara ini. Mereka merupakan anak watan yang berjasa besar kepada Malaysia," katanya.

Dua komando polis terbunuh dalam pertempuran dengan penceroboh bersenjata di Sabah yang mendakwa diri mereka sebagai tentera Kesultanan Sulu dari Filipina.

Kira-kira 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut.

Najib juga menyeru sektor swasta supaya menyokong inisiatif kesukarelaan di seluruh negara.

"Kami mengalu-alukan badan korporat yang berganding bahu dengan kami dalam menyebarkan semangat kesukarelaan di seluruh negara. Saya masih ingat suatu ketika dulu apabila sektor swasta akan memberi ganjaran kepada pertubuhan yang membalas budi masyarakat dengan berkesan melalui program tanggungjawab korporatnya," kata beliau.

"Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru sektor swasta supaya bukan sahaja menyertai kami, tetapi juga menyokong inisiatif kesukarelaan di seluruh negara," katanya.

Mengenai iM4U, Najib berkata pergerakan itu bercadang menambah jumlah dutanya untuk menggerakkan lebih ramai belia menyertai kegiatan kesukarelaan di seluruh negara.

"Saya juga dimaklumkan bahawa sehingga kini, laman Facebook iM4U mendapat 40,000 'like' dan mempunyai 8,000 pengikut melalui Twitter. Di samping itu, lebih 300 aktiviti diluluskan sejak ia ditubuhkan melalui dana DRe1M, dengan hampir RM700,000 disalurkan untuk membiayai kegiatan berkenaan.

"Seratus pusat outreach diwujudkan di universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia dan lewat hari ini, saya akan melancarkan pusat outreach di Puncak Alam (Selangor)," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan penjualan 9,999 plat kenderaan "iM4U" kepada orang ramai.

Hasil daripada jualan plat khas ini akan disalurkan kepada Dre1M.

Perdana Menteri juga melancarkan siaran radio iM4U FM melalui frekuensi 107.9 FM, yang menyiarkan pelbagai maklumat tentang kegiatan kesukarelaan di negara ini. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan