Pendedahan Anwar Disifatkan Cubaan Perlekeh Golongan Ulama

Diterbitkan: Sabtu, 2 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan penglibatan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyediakan dan menandatangani kenyataan bersama Pakatan Rakyat yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai cubaan memperlekeh golongan ulama.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selain memalukan Abdul Hadi, Anwar dalam masa yang sama seolah-olah cuba membunuh peranan ulama dalam parti itu.

"Dia nak tunjuk ulama tak boleh dipakai, tak konsisten. Dia nak tunjuk Abdul Hadi tak ada kredibiliti supaya golongan sekular atau erdogan dalam PAS boleh ambil alih kepimpinan parti," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata Anwar tidak selesa dengan golongan ulama yang dilihat menghalang cita-cita pakatan pembangkang untuk memerintah, justeru cuba menghasut anggota PAS bahawa ulama tidak mampu memimpin parti.

Anwar mendedahkan penglibatan Abdul Hadi berhubung perkara itu ketika berceramah di Ketereh, Kota Baharu, Selasa lepas.

Kenyataan bersama yang dirujuk Anwar itu adalah bertentangan dengan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Menyifatkan pemecatan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama sebagai kejayaan terbesar Anwar untuk menyingkirkan ulama, Mohd Puad tidak menolak akan berlaku pertembungan antara golongan ulama dan bukan ulama satu hari nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya pula berkata Anwar bukan sahaja tidak menghormati PAS sebagai rakan pakatan, tetapi Abdul Hadi sebagai presiden parti.

Katanya, Anwar turut memperbodoh-bodohkan Majlis Syura Ulama melalui tindakannya itu selain cuba memporak-perandakan PAS.

"Keputusan yang dibuat Majlis Syura Ulama sebagai majlis tertinggi dalam PAS adalah mendahului keputusan mana-mana individu lain dalam parti itu termasuk Presiden sendiri.

"Pandangan Abdul Hadi tidak mewakili PAS secara keseluruhan. Itu pendapat dia, bukan pendapat PAS. Tapi kalau dia (Abdul Hadi) kata itu kenyataan parti, apa yang kita tahu kenyataan PAS adalah tidak sama," katanya.

Fathul Bari juga sependapat dengan Mohd Puad bahawa tindakan Anwar akan memberi implikasi negatif kepada kerjasama dalam pakatan pembangkang selain menyebabkan pertembungan dalam PAS.

"Ia akan menyebabkan orang ramai malah anggota PAS sendiri hilang rasa hormat kepada Abdul Hadi selaku presiden parti," katanya.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata Abdul Hadi perlu menarik semula kenyataan awalnya berhubung isu kalimah Allah tersebut demi kemaslahatan ummah.

Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali pula menggesa Abdul Hadi menjelaskan pendiriannya berhubung isu tersebut demi mempertahankan kredibilitinya sebagai seorang ulama.

"Adakah kenyataan Anwar itu menepati apa yang berlaku atau Ustaz Hadi ada versinya yang tersendiri demi mempertahankan kewibawaan PAS sebagai parti politik Islam yang tidak sekali-kali sanggup menyembunyikan kebenaran," katanya.

"Ustaz Hadi perlu bertanggungjawab penuh di sisi Allah kerana keputusan yang dikatakan dibuat olehnya itu mempunyai implikasi hukumnya yang tersendiri," katanya.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ruslan Kasim berkata golongan ulama jelas diperalatkan golongan oportunis seperti Anwar.

Beliau berkata Abdul Hadi pula bertindak seolah-olah seperti lalang dan sanggup menggadaikan akidah Islam semata-mata untuk kepentingan politik.

"Ini tindakan terdesak untuk menarik orang PAS yang jelas tidak tahu rahsia yang sebenarnya. Presiden PAS seperti tiada prinsip dan lebih mengutamakan Putrajaya daripada menegakkan akidah Islam," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan