Tembakan Didengari Di Kampung Tanduo

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tembakan didengari di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada Jumaat yang menjadi tempat kumpulan penceroboh selatan Filipina berkampung.

Ia berikutan tindakan pihak keselamatan Malaysia memasuki kawasan itu dipercayai untuk memulakan operasi menahan mereka setelah beberapa siri rundingan gagal dan tempoh pengusiran berakhir.

Kejadian itu bagaimanapun masih belum disahkan oleh polis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan berlaku insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu tetapi menegaskan bahawa pasukan keselamatan Malaysia tidak melepaskan tembakan.

"Saya mengesahkan pasukan keselamatan kita tidak melepaskan walau satu das tembakan pun, sebaliknya ditembak pada 10 pagi ini!" katanya dalam mesej tweet tanpa menyebut sama ada operasi dijalankan untuk menahan penceroboh bersenjata itu.

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu sidang media di sini bahawa Malaysia telah memberi tempoh sewajarnya untuk mengusir kira-kira 150 penceroboh itu supaya berundur dan pulang ke tanah air mereka.

Malah, beliau berkata Malaysia sudah banyak berlembut dengan memberi ruang secukupnya dalam beberapa siri rundingan dan kaedah diplomasi.

"Saya mengingatkan kumpulan penceroboh yang memasuki negara ini agar tidak menuduh Malaysia tidak beri waktu dan ruang secukupnya kepada mereka untuk berundur dari negara ini.

"Malaysia sudah banyak berlembut dengan cara rundingan dan diplomasi," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Pergerakan Pemuda Malaysia Palestin di Jabatan Pertahanan Awam.

Menurut sumber pasukan keselamatan, operasi menahan penceroboh itu dipercayai dijalankan secara bersepadu melibatkan pasukan polis dan tentera termasuk Pasukan Gerakan Am, pasukan Komando 69 dan polis marin.

Keadaan di pekan Lahad Datu tegang dengan banyak premis kedai ditutup manakala penduduk pula tidak keluar dari kediaman masing-masing.

Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari lepas apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke perairan Malaysia pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung itu sebagai pangkalan mereka.

Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

Kumpulan itu yang didakwa diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan