Kelantan Boleh Capai Negeri Maju Dalam Tempoh 7 Tahun Jika Diperintah BN - TPM

Diterbitkan: Jumaat, 1 Mac 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Rakyat Kelantan perlu memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) bagi membolehkan Kelantan menjadi negeri maju bersama-sama negeri lain menjelang tahun 2020 yang hanya tinggal tujuh tahun lagi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia mungkin boleh mencapai status negara maju lebih awal daripada sasaran itu dan kerajaan mahu semua negeri sama-sama mencapai status negeri maju termasuk Kelantan yang kini jauh terkebelakang daripada segi pembangunan.

Pentadbiran kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan akan menjadi penghalang kepada usaha kerajaan persekutuan untuk memajukan negeri itu termasuk apabila sesuatu pembangunan itu melibatkan soal tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, katanya.

Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, Jumaat.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 30,000 orang itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat Kelantan sekarang berada dalam "mood" serta gelombang perubahan yang semakin membesar untuk menukar kerajaan negeri pimpinan PAS kerana mereka sudah sedar PAS tidak mampu memerintah dan hanya menabur janji kosong serta menghabiskan khazanah negeri seperti pembalakan yang tidak terkawal.

"Kalau tidak ada sokongan kerajaan pusat untuk projek pembangunan...Kelantan akan tinggal ke belakang, kalau kerajaan (negeri pimpinan PAS) tidak ada visi hanya pentingkan soal lain bukan untuk pembangunan ummah, kemajuan untuk rakyat tidak boleh disempurnakan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang berkemampuan untuk memajukan negara termasuk berjaya meningkatkan hasil pendapatan rakyat, mengurangkan kadar kemiskinan, memberi ilmu pengetahuan dengan membina 11,000 buah sekolah di seluruh negara untuk 5.4 juta pelajar dan 460,000 guru.

Katanya kerajaan persekutuan telah memberi peruntukan sebanyak RM100 juta kepada sekolah agama rakyat bantuan kerajaan pada tahun lepas dan jumlah yang sama akan diberikan kepada sekolah tersebut pada tahun ini.

Berikutan masalah bekalan air bersih yang masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri Kelantan, Muhyiddin berkata kerajaan pusat akan menambah lagi peruntukan sebanyak RM2.9 juta bagi memasang alat penapis air di 654 buah prasekolah dan 137 asrama sekolah yang menghadapi masalah bekalan air kotor.

Katanya bantuan itu dihulurkan bagi memastikan pelajar tidak terjejas pelajaran mereka dan berjanji masalah tersebut akan selesai apabila kerajaan B Nkembali memerintah negeri ini.

Muhyiddin turut membidas pemimpin PAS termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperkecilkan bantuan yang dihulurkan kerajaan persekutuan kepada rakyat termasuk menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti memberi makanan kepada haiwan.

Katanya PAS yang kononnya mendakwa sebuah parti memperjuangkan Islam tetapi gagal menyediakan kemajuan kepada umat Islam termasuk menyediakan masjid kerana masjid yang terdapat di Kelantan ini adalah usaha kerajaan persekutuan.

Beliau berkata kejayaan perjuangan kerajaan BN untuk menegakkan Islam di negara ini menjadi contoh kepada negara Islam lain dan Malaysia juga memainkan peranan untuk mewujudkan perdamaian di selatan Filipina dan di wilayah selatan Thailand yang sedang bergolak yang dihuni ramai umat Islam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan