Polis Beri Jaminan Proses Pilihan Raya Aman

Diterbitkan: Khamis, 28 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis memberi jaminan proses pengundian berjalan lancar dan pengundi tidak perlu berasa takut untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGA/Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata anggota yang mencukupi akan ditempatkan sepanjang proses pilihan raya, lebih-lebih lagi di kawasan yang dianggap 'hotspot'.

"Seramai 112,00 anggota kita di setiap cawangan akan berkawal selepas pembubaran Parlimen hingga selesai pilihan raya dan keadaan benar-benar terjamin selamat.

"Kita minta orang ramai agar tidak berasa takut, terancam atau sebagainya untuk keluar mengundi kerana kita (polis) ada di mana-mana sahaja untuk menjaga keselamatan mereka," katanya dalam temu bual dengan Bernama mengenai persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), di sini.

Muhammad Fuad berkata kawalan atau perhatian yang lebih akan diberi di kawasan hotspot yang dikenal pasti dan dipantau dari semasa ke semasa oleh ibu pejabat daerah (IPD) masing-masing.

Katanya perbincangan lebih agresif juga akan diadakan oleh pucuk pimpinan PDRM selepas Parlimen dibubarkan bagi mengkaji mengenai situasi di sesuatu tempat yang dijangka panas bagi mendapatkan langkah penyelesaian.

"Setiap anggota mempunyai peranan mereka masing-masing, ada yang mengawal trafik semasa hari pengundian, ada yang duduk di bilik gerakan dan memantau di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Muhammad Fuad berkata polis juga menyiasat kemungkinan unsur sabotaj atau kemungkinan kedatangan pengundi di sesuatu tempat tidak seperti dijangka.

Selain itu, katanya PDRM juga akan memastikan setiap laporan polis yang dibuat ketika berlangsungnya pilihan raya, akan diambil tindakan segera.

"Kita akan bertindak atas setiap laporan mengenai pilihan raya," katanya sambil menambah polis akan bermesyuarat setiap hari bagi melihat dan mengkaji setiap laporan yang diterima ketika pilihan raya.

Katanya latihan seperti ex-Ballot III yang menggunakan simulasi telahpun diadakan sebagai persediaan menghadapi situasi pergaduhan, rusuhan dan gejala yang mungkin timbul ekoran perang poster.

Muhammad Fuad berkata cuti setiap anggota PDRM dibekukan sejak bulan lepas namun diberi kelonggaran sekiranya ada kecemasan.

Katanya bagi memastikan keberkesanan kawalan polis ketika musim pilihan raya, PDRM akan sentiasa melakukan 'post mortem' bagi menambah baik dan mengenal pasti kelemahan yang ada.

"Ini bertujuan memberi pendedahan serta pembelajaran mengenai kawalan semasa pilihan raya akan datang kepada anggota-anggota baharu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan