Pesakit Di Hospital Kerajaan Dikenakan Bayaran Paling Minimum - Liow

Diterbitkan: Khamis, 28 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kira-kira 98 peratus bayaran pesakit di hospital kerajaan diberi subsidi dan sungguhpun begitu, kesemua mereka mendapat layanan serupa tanpa mengira kelas wad, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kami tidak pernah mendiskriminasi dari segi kualiti penjagaan. Ini bermakna Kementerian Kesihatan memberi penjagaan terbaik tanpa mengira kelas pertama atau kedua. Kementerian Kesihatan memberi penjagaan sama rata kepada semua pesakit," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai manifesto pilihan raya pembangkang yang menjanjikan perkhidmatan wad percuma di semua hospital kerajaan bagi pesakit kelas kedua dan ketiga.

Beliau berkata manifesto itu menunjukkan pakatan pembangkang mempunyai pemahaman lemah mengenai sistem kesihatan di Malaysia.

"Kita mempunyai perkhidmatan kesihatan terbaik berbanding mana-mana negara di dunia. Bayaran hospital Malaysia antara terendah. Sungguhpun mereka tidak mampu bayar, kami akan beri rawatan secara percuma," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, pesakit hanya dikenakan bayaran masuk RM5 dan bayaran bagi perkhidmatan wad kelas kedua tidak melebihi RM500.

Terdahulu, Liow melancarkan Kempen Riben Biru Malaysia, iaitu kempen yang dimulakan oleh Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) untuk menggalakkan masyarakat komited ke arah mewujudkan persekitaran bebas tembakau dan menyelamatkan nyawa daripada bahaya terdedah kepada asap rokok basi.

Beliau berkata di sebalik cabaran itu, sokongan orang ramai semakin meningkat terhadap persekitaran bebas asap rokok.

Katanya laporan Kajiselidik Tembakau Audit Global Malaysia 2011 menunjukkan 83.5 peratus orang awam menyokong restoran 100 peratus bebas asap, 92.2 peratus orang dewasa percaya merokok mengakibatkan penyakit teruk dan 86.8 peratus dewasa percaya menyedut asap rokok orang lain akan mengakibatkan penyakit serius dalam kalangan bukan perokok.

Liow berkata Pulau Pinang menjadi negeri kedua mewartakan enam kawasan sebagai zon bebas asap rokok sejak Oktober lepas, kebanyakannya melibatkan kawasan tadahan air dan taman rekreasi, termasuk Taman Botani, katanya.

Melaka menjadi negeri pertama di negara ini mewartakan lima kawasan sebagai zon bebas rokok pada 2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan