MATTA Sasar Jualan RM90 Juta Mac 2013

Diterbitkan: Khamis, 28 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Malaysia menyasarkan mengutip RM90 juta jumlah perolehan jualan pada pameran MATTA (MATTA Fair 2013) sesi Mac ini, rendah sedikit berbanding RM106 juta yang direkodkan pada sesi yang sama tahun lepas.

Pada September 2012, pameran perjalanan yang ditunggu-tunggu itu memperoleh perolehan jualan sebanyak RM120 juta.

Pengerusi penganjur MATTA Fair Mac 2013, Jeffri Sulaiman berkata pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan pada Mac, memberi kesan ke atas sentimen penggiat industri itu.

"Seperti yang diketahui ramai, pilihan raya mewujudkan rasa bimbang dalam kalangan pengguna selain peserta. Kami kerap ditanya apakah rancangan MATTA jika pilihan raya berlangsung semasa pameran.

Tidak ada apa yang boleh kami lakukan, pameran mesti diteruskan," katanya pada sidang media mengenai acara itu pada Rabu.

MATTA Fair 2013 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 15 hingga 17 Mac.

Jeffri berkata musim ini lebih besar berbanding sebelumnya dengan sejumlah 1,100 ruang pameran di lima dewan dan kawasan pameran dan menjangkakan acara tiga hari itu akan menarik 100,000 pengunjung berbanding 92,600 pada sesi yang sama 2012.

"Kami positif terhadap unjuran industri pelancongan Malaysia walaupun ekonomi dunia tidak menentu.

"Anggota MATTA juga meningkat daripada 2,800 tahun lepas kepada 3,000 setakat ini, yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap industri pelancongan kita," katanya.

Jeffri berkata MATTA FAIR 2013 akan menarik beberapa perkhidmatan baharu termasuk pengenalan pembelian tiket masuk secara dalam talian, aplikasi mudah alih MATTA dan borang masuk dalam talian untuk pertandingan dalam kalangan pembeli produk pameran MATTA.

Pada majlis itu MATTA menandatangani perjanjian dengan Etihad Airways yang akan menjadi rakan penerbangan rasmi bagi sesi kedua berturut-turut. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan