Berapa Kerusi Boleh Menang Jadi Pertanyaan Ramai Sekarang...

Diterbitkan: Rabu, 27 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

> Jumlah kerusi Parlimen - 222 > BN - 140 > PR - 82 (PKR 31; DAP 28; PAS 23) - NOTA: 6 anggota pembangkang keluar parti dan isytihar sebagai anggota Bebas menjadikan jumlah kerusi pembangkang menguncup kepada 76 > BEBAS - 9 > Majoriti mudah: 112 kerusi > Majoriti dua pertiga: 148 kerusi > Parlimen tergantung: 111 kerusi > Dun Kedah 36 kerusi - BN 14; PAS 16; PKR 4; DAP 1; BEBAS 1 (kemudian sertai PKR) > Kedah mempunyai 15 kerusi parlimen - BN 4; PAS 6; PKR 5 (dua wakil PKR kemudiannya meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil BEBAS).

> BN - 140

> PR - 82 (PKR 31; DAP 28; PAS 23) - NOTA: 6 anggota pembangkang keluar parti dan isytihar sebagai anggota Bebas menjadikan jumlah kerusi pembangkang menguncup kepada 76

> BEBAS - 9

> Majoriti mudah: 112 kerusi

> Majoriti dua pertiga: 148 kerusi

> Parlimen tergantung: 111 kerusi

> Dun Kedah 36 kerusi - BN 14; PAS 16; PKR 4; DAP 1; BEBAS 1 (kemudian sertai PKR)

KE MANA-MANA sahaja kita pergi pada masa ini, soalan paling popular yang ditanya ialah “berapa kerusi boleh menang...”

Tentunya kerusi yang dirujuk itu ditujukan kepada kerusi parlimen yang mampu dimenangi oleh setiap parti yang bertanding.

Dalam senario Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), ia adalah satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Walaupun PR akan masuk bertempur tanpa menggunakan logo yang seragam sepertimana BN tapi rata-rata para pengundi di semenanjung sudah sedia maklum, yang lain daripada lambang dacing itu, PR lah.

Di Sabah dan Sarawak, sejak sekian lamanya, para pengundi di sana sudah biasa dengan lambang Bebas. Kita di semenanjung tidak begitu biasa.

Tetapi sejak beberapa hari lalu, sudah timbul cakap-cakap di semenanjung, akan muncul ‘kuasa ketiga’ yang akan masuk gelanggang atas tiket Bebas pada PRU-13 nanti. Mereka adalah terdiri daripada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang cenderung politik seperti Jati dan Perkasa.

Faktor ini tidak dapat diketepikan kerana para peneraju NGO ini seperti Datuk Dr Hasan Ali dan Datuk Ibrahim Ali adalah orang politik.

Malah mereka adalah wakil rakyat yang masih berkhidmat (bukan pencen) yang dahulunya masuk bertanding atas tiket parti politik seperti PAS.

Kini mereka menjadi Ahli Yang Berhormat tanpa parti dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan bersara dari politik.

Logik ini mendorong siapa sahaja untuk mempercayai yang mereka akan bekerjasama untuk masuk gelanggang atas tiket NGO/Bebas.

Penulis dimaklumkan oleh mereka yang rapat dengan badan-badan ini, setidak-tidaknya Jati dan Perkasa akan bertanding di 60 kerusi parlimen di kawasan yang majoriti pengundinya bercampur-campur yang menyaksikan Umno dan PAS tidak akan meletakkan calon.

Hasrat mereka untuk memastikan calon PR tidak mendapat mandat yang mencukupi untuk menang.

Dalam parlimen yang memiliki jumlah kerusi yang sangat unik iaitu 222 keseluruhannya, mana-mana parti yang mahu menguasai dua pertiga sekurang-kurangnya harus menang 148 kerusi.

Untuk menang majoriti mudah perlu kuasai 112 kerusi.

Oleh kerana parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi, kemungkinan berlakunya ‘parlimen yang tergantung’ adalah sangat besar - jika kedua-dua belah pihak memperolehi 111 kerusi.

Malah jika ada calon Bebas yang menang dan dua kumpulan terbesar iaitu BN dan PR masing-masing memperolehi jumlah kerusi yang sama, maka anggota-anggota parlimen Bebas ini akan benar-benar menjadi ‘kuasa ketiga’ yang menentukan siapakah yang bakal membentuk kerajaan baru nanti.

Ketika berlangsungnya Konvensyen PR di Shah Alam Isnin lalu (25 Feb), tidak ada seorang pemimpin PR pun yang berani mendabik dada mengisytiharkan berapakah kerusi secara realitinya yang mereka boleh menang.

Mereka hanya sekadar membisik di telinga “...140 kerusi” tetapi tidak berani menyatakannya secara terbuka.

Walau pun secara lahiriahnya gelombang seolah-olah menunjukkan yang PR sedang mencapai momentum yang selesa dan memberi gambaran yang mereka ada harapan untuk menang tetapi jika mereka gagal mempertahankan salah satu daripada negeri yang mereka sandang sekarang, realitinya ialah mereka boleh melupakan Putrajaya.

Dalam konteks ini, Kedah nampaknya menjadi duri dalam daging. Di bawah mikroskopik, yang sedang menerima tekanan sekarang ialah PAS kerana mereka bertanggungjawab mempertahankan Kedah dan sekaligus memastikan kemaraan PR ke Putrajaya.

Tetapi pada masa yang sama, mereka berhadapan dengan krisis dalaman di Kedah kerana isu kepimpinan di antara Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak dan geng muda yang mahukan kuasa iaitu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan lain-lain.

Isu mereka sama naik dan kontroversi dengan isu pembalakan di negeri itu.

Jika kerajaan Kedah jatuh dan banyak kerusi parlimen yang kembali ke pangkuan BN, PR akan menghadapi jalan yang berliku untuk sampai ke Putrajaya.

Dewan Undangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi. Daripada jumlah itu, BN kuasai 14, PAS (16), PKR (4), DAP (1) dan BEBAS 1.

Calon Bebas ini kemudiannya menyertai PKR menjadikan wakil PKR kepada 5 kerusi.

Untuk parlimen pula, Kedah mempunyai 15 kerusi - BN (4), PAS (6) dan PKR (5).

Tetapi kini dua wakil PKR di Kedah iaitu N.Gobalakrishnan (Padang Serai) dan Datuk Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru) telah mengisytiharkan diri jadi wakil Bebas - menjadikan PKR hanya tinggal tiga kerusi parlimen sahaja di Kedah.

Sesuatu yang menarik ialah, Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen PR tidak menyebut nama negeri Kedah sebagai satu contoh kejayaan PR sedangkan nama negeri-negeri lain seperti Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang menjadi sebutan di bibirnya.

Kita tidak pasti sama ada ini tidak disengajakan atau kerana beliau tidak berani menyebutnya. Situasi di Kedah sekarang memang sukar buat PAS dan PR lebih-lebih lagi kepimpinan PAS negeri tidak bersatu hati untuk menghadapi PRU-13 ini sebagai satu pasukan. Kegoyahan PAS membawa rebah kepada PKR dan DAP.

Jika Parti Kita dan NGO lain buat kacau di Kedah, mereka hanya akan menambah keparahan tersebut dengan memecahkan undi PR.

Di Selangor pun situasinya serupa. PR akan mendapati, usaha untuk mempertahankan kerusi dan kuasa yang ada jauh lebih sukar daripada usaha untuk merampas kuasa.

Sementara Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng nampak tidak sedikit pun goyah tetapi penulis yang berasal dari negeri itu telah dimaklumkan oleh ramai rakan taulan yang masih bermastautin di sana yang MCA dan Gerakan mungkin akan berupaya untuk merampas beberapa buah kerusi dari tangan DAP.

Kata mereka, Cina Pulau Pinang juga telah mempelajari satu perkara - tidak kira di sebelah mana sekali pun yang berkuasa, mereka tidak seharusnya memberikan kuasa mutlak kepada mana-mana pihak sepertimana yang telah mereka berikan kepada DAP pada 2008.

Ini belum diambil kira lagi masalah pembahagian kerusi yang dihadapi oleh PKR dan DAP di negeri ini di Johor dan juga Perak.

iklan

iklan

Iklan