Anwar Anggap Siapa Calon PM Bukan Isu Besar

Diterbitkan: Rabu, 27 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siapa juga calon Perdana Menteri Malaysia bukan satu isu besar bagi Pakatan Rakyat (PR)sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13) nanti.

Beliau berkata, pada PRU 2008 PR tidak pernah mengumumkan siapakah yang bakal menjadi menteri besar Selangor dan ketua menteri Pulau Pinang dalam manifesto mereka.

"Ia (isu siapa perdana menteri) bukan satu isu. Kami mahu memfokuskan tumpuan kepada agenda untuk membangunkan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pun mereka tidak ada umum siapa akan jadi perdana menteri sekiranya menang, kenapa PR perlu buat demikian," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen PR yang berjanji Anwar akan dilantik sebagai perdana menteri sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin kanan PR yang ditemui mengambil sikap mengunci mulut ketika diminta mengulas isu tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau juga tidak ada masalah sekiranya tidak angkat sebagai Perdana Menteri kerana tujuan Konvensyen PR diadakan pada Isnin adalah untuk menerangkan mengenai polisi bersama dan manifesto PRU mereka.

"Perpaduan bersama lebih utama, kita bergerak sebagai satu pasukan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata manifesto PR yang diumumkan diyakini mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

"Kita yakin dapat memberikan apa yang kita janji dalam manifesto kita. Dengan pendapatan yang diumumkan oleh kerajaan Pusat, kita telah buat pengiraan.

"Apabila kita ambil alih ketirisan dan rasuah dalam ekonomi negara dapat dikurangkan dan sebanyak RM20 bilion dapat dijimatkan dengan penjimatan itu kita dapat berikan apa yang telah kita janjikan kepada rakyat," katanya ketika mengulas mengenai komen beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menyifatkan manifesto PR sebagai populis, tidak terpeinci serta mustahil untuk dilaksanakan.

Mereka turut mencabar pembangkang agar mendedahkan kaedah perlaksanaan manifesto mereka, serta mengingatkan pengundi bahawa banyak janji pembangkang pada pilihan raya 2008 gagal dilaksanakan.

Antara manifesto pembangkang ialah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah minimum sebanyak RM4,000 dalam tahun pertama selepas berkuasa, mengeluarkan sejuta pekerja asing dalam tempoh lima tahun, menaikkan gaji minimum kepada RM1,100 dan menghentikan loji nadir bumi Lynas di Gebeng.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan