Dasar Gaji Minimum PR Akan Tingkatkan Inflasi, Pengangguran - Subramaniam

Diterbitkan: Selasa, 26 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Manifesto pakatan pembangkang untuk memperkenalkan gaji minimum RM1,100 sebulan akan memberi risiko tinggi terhadap daya saing Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Selasa.

Beliau berkata kadar yang dicadangkan itu akan hanya meningkatkan kadar inflasi dan pengangguran serta menjadikan negara ini kurang menarik kepada pelabur asing.

Katanya kerajaan mengambil kira faktor itu sebelum menetapkan RM900 sebulan sebagai gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia dan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak.

"Malah, pada kadar sedia ada pun, perusahaan kecil dan sederhana (SME) sudah mengeluh. Sekiranya ia ditetapkan pada RM1,100, tidak tahulah saya apa yang akan berlaku atau apa yang akan mereka lakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Sistem Upah Berdasarkan Produktiviti di sini.

Dr Subramaniam berkata demikian bagi mengulas 10 manifesto yang dilancarkan pakatan pembangkang semalam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Ia termasuk janji melaksanakan gaji minimum RM1,000 sebulan untuk pekerja sektor swasta sekiranya mereka berkuasa.

Kata Dr Subramaniam, pakatan pembangkang membuat cadangan itu berdasarkan satu laporan Bank Dunia, laporan yang juga digunakan kerajaan apabila membuat keputusan tentang gaji minimum.

Laporan itu, yang dikeluarkan atas permintaan Kementerian Sumber Manusia, mencadangkan julat gaji minimum antara RM800 dan RM1,200 sebulan.

"Lebih tinggi gaji minimum, maka lebih tinggilah risikonya. Sebab itulah kerajaan pilih RM900 sebagai gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia kerana ia boleh "mengimbangkan isu tersebut".

"Sekiranya gaji minimum lebih daripada itu, Malaysia akan menjadi kurang menarik untuk mendapatkan pelaburan langsung asing," Dr Subramaniam.

Kata beliau kadar gaji minimum RM1,100 sebulan tidak munasabah untuk dilaksanakan.

"Mungkin ia sekadar janji pilihan raya, tapi apabila tiba masa untuk melaksanakannya kelak, ia amat sukar untuk dilaksanakan," kata beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan