Azizan MB Tidak Bertanggungjawab - Johari Baharom

Diterbitkan: Selasa, 26 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah Datuk Mohd Johari Baharom menyifatkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar yang tidak bertanggungjawab.

Katanya Menteri Besar Kedah itu hanya tahu memberi jawapan "tidak tahu" dan "kerajaan negeri tidak bertanggungjawab" dalam pelbagai isu termasuk yang terkini membabitkan pembersihan hutan di Bukit Perangin, Wang Perah di Kubang Pasu.

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut membidas Azizan kerana mengaitkan kerajaan negeri terdahulu dengan isu pemberian kawasan hutan simpan kepada Pegawai Tadbir Kedah (KCS).

Beliau yang ditemui selepas melancarkan program pembangunan tukun tiruan peringkat negeri Kedah di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Keluncur, Kuala Kedah, dekat sini pada Selasa, mengulas kenyataan Azizan berhubung isu terbabit.

Pada sidang media Isnin, Azizan berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa berhubung aspek alam sekitar berkaitan aktiviti pembalakan di kawasan seluas 142.76 hektar itu kerana tanah terbabit dimiliki 40 pegawai kanan KCS.

Menurut Azizan tanah itu diberi sebagai ganti kerana tanah yang diluluskan kerajaan negeri terdahulu didapati tidak sesuai.

Mengulas perkara itu, Mohd Johari berkata Azizan sebagai peneraju kerajaan negeri pimpinan PAS itu sepatutnya lebih bijak dalam membuat keputusan.

"Ada banyak lagi kawasan sesuai, mengapa pilih hutan simpan Wang Perah. Lima tahun lagi bencana akibat pembangunan kawasan ini pasti berlaku.

"Tidak ada lagi kemungkinan....sekarang inipun Sungai Kecil, Sungai Badak dan Sungai Wang Perah mula terjejas," katanya sambil menambah Kampung Betong dan Kampung Malau juga kini dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Mohd Johari juga mahu kerajaan negeri menjelaskan kewajaran meluluskan pemberian tanah hutan seluas 3,000 hektar kepada Persatuan-persatuan Sekolah Cina, India dan Agama Islam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan