Kerajaan Belanja Lebih Setengah Bilion Tampung Kos Rakyat Asing Dipenjara

Diterbitkan: Isnin, 25 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan membelanjakan lebih setengah bilion ringgit bagi menanggung kos pengurusan banduan warganegara asing di empat penjara di Sabah sejak tujuh tahun lepas.

Timbalan penguasa penjara Kota Kinabalu Kalbin Mohd Said memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah bahawa sejumlah RM604,080,480 telah dibelanjakan kerajaan untuk kos lebih 46,000 banduan dewasa lelaki dan wanita sejak 2006 hingga Oktober 2012.

Saksi ke-62 itu berkata kos itu meliputi makan dan minum, perubatan, tempat tinggal, pakaian, eletrik, air dan program-program yang diberikan kepada banduan rakyat asing itu.

Beliau berkata kos pengurusan itu bermula daripada banduan yang antaranya dari Filipina, Indonesia dan juga Pakistan itu masuk ke penjara sehingga mereka dibebaskan.

Menjawab soalan pegawai pengendali Datuk Azmi Arifin, Kalbin berkata jumlah kos itu adalah di empat penjara iaitu Penjara Pusat Kota Kinabalu yang menempatkan banduan lelaki, Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penjara Tawau dan Penjara Sandakan. Ditanya mengenai statistik sebelum tahun 2006, saksi itu menjelaskan beliau tidak mempunyai rekod itu kerana sebelum tahun berkenaan rekod dibuat secara manual.

Beliau berkata banduan terbabit ditahan di situ atas pelbagai kesalahan antaranya mengikut Akta Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kesalahan jenayah lain mengikut Kanun Keseksaan, sanjata api dan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Kalbin juga berkata mengikut statistik tahun 2006 hingga Oktober tahun lepas jumlah banduan warganegara asing di empat penjara itu lebih ramai berbanding rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata terdapat peningkatan jumlah banduan di dalam penjara menyebabkan berlaku kesesakan, bagaimanapun pihaknya melakukan penambahbaikan dengan menempatkan banduan ke penjara yang kurang padat.

Saksi itu berkata penjara di negeri berkenaan juga mengikut standard prosedur antarabangsa.

Saksi ke 58, Shafee Sajat pula berkata jumlah pertambahan besar pengundi di negeri itu pada 1990 merupakan perkara biasa kerana ia juga berlaku di negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Shafee, ketua penolong setiausaha bahagian teknologi maklumat di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata jumlah peningkatan pengundi di Sabah sebanyak 120,511 pada 1990 adalah normal kerana data peningkatan pengundi juga berlaku di negeri lain.

Ditanya peningkatan pengundi yang banyak berbanding tahun 1986 iaitu sebanyak 43,000 berbanding 1990 sebanyak 120,000 lebih, saksi itu berkata beliau tidak membuat sebarang analisis mengenainya kerana tugasnya adalah mengumpul maklumat daftar pemilih.

Seorang peniaga restoran, Omar Mohd Subair memberitahu bahawa SPR telah membatalkan namanya daripada daftar pemilih selepas mendapati dia bukan pemegang kad pengenalan (IC) biru.

Saksi itu yang berasal dari India berkata beliau adalah pemegang IC merah iaitu pemastautin tetap sejak 1985.

Selepas mendapat sijil lahir pada 1991 beliau telah membuat permohonan IC biru dan diberikan resit sementara yang mempunyai nombor IC, 12 digit sementara permohonannya diproses.

Semasa diminta penjelasan oleh pegawai pengendali Jamil Aripin, Omar bersetuju bahawa beliau menggunakan nombor 12 digit dalam resit sementara itu sebagai IC biru untuk mendaftar sebagai pengundi tanpa pengetahuan SPR.

Beliau juga bersetuju telah tiga kali mengundi iaitu pada 1994, 1998, dan 2004, bagaimanapun pada 2008 beliau tidak dapat mengundi kerana namanya dibatalkan daripada daftar pemilih kerana beliau adalah pemegang IC merah.

Saksi itu berkata sehingga kini namanya tiada dalam daftar pemilih SPR.

Jamil juga memberitahu saksi itu yang kelihatan agak gugup bahawa kenyataannya kepada pegawai penyiasat kes, berhubung sijil lahirnya adalah tidak benar iaitu beliau berkata telah membuat sijil lahir pada 1974.

Jamil berkata setelah membuat semakan dengan JPN, saksi itu mendapat sijil lahirnya pada 1991 dan saksi itu juga memperoleh IC merahnya melalui surat akuan palsu.

Jamil memberitahu panel suruhanjaya bahawa oleh sebab itu JPN telah menolak lima permohonan Omar bagi mendapatkan IC biru.

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung 5 Mac dan setakat ini 62 orang saksi selesai memberi keterangan.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Professor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas timbalan ketua menteri dan bekas peguam besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan