Rakyat Berpendapatan Rendah Akan Terpinggir Jika Negara Amal Model Pembangunan Sosialis - PM

Diterbitkan: Ahad, 24 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan replika cek bernilai RM2 juta kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bagi dana Program Mengubah Destini Anak India Malaysia di Politeknik Port Dickson, Ahad. Turut serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel Govindasamy. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan replika cek bernilai RM2 juta kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bagi dana Program Mengubah Destini Anak India Malaysia di Politeknik Port Dickson, Ahad. Turut serta Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel Govindasamy. -fotoBERNAMA

PORT DICKSON: Rakyat berpendapatan rendah sama ada di bandar atau luar bandar akan terpinggir dan ketinggalan daripada arus pembangunan negara sekiranya kerajaan melaksanakan model pembangunan sosialis yang menidakkan prinsip keadilan sosial dan meritokrasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata justeru apa sahaja yang menjadi penghalang kepada prinsip ini mesti diubah dan diruntuhkan supaya keadilan sosial menjadi kenyataan dan realiti bersesuaian dengan satu daripada tonggak dalam gagasan 1Malaysia.

Katanya bersesuaian dengan prinsip itu, maka model pembangunan negara ini bukanlah model apabila kuasa pasaran menentukan segala-galanya.

"Bukan juga model sosialis di mana kita tidak ambil kira soal meritokrasi, soal daya saing. Apa yang perlu kita lakukan ialah supaya prinsip mengiktiraf kecemerlangan dan kebolehan disokong dengan program-program yang boleh menentukan keadilan sosial tanpa menjejaskan prinsip mengiktiraf kebolehan dan kecemerlangan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap melancarkan program Mengubah Destini Anak India Malaysia (MDAIM) 2013, di Politeknik Port Dickson di sini, Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Najib berkata jika prinsip total meritokrasi dilaksanakan tanpa intervensi kerajaan, ia boleh memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin, sekali gus melebarkan jurang antara mereka dan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi selain mewujudkan keadaan ketidakadilan dalam masyarakat di negara ini.

"Oleh itu kita kena fikir apakah program yang sesuai dan kepada siapa yang harus kita laksanakan program ini supaya kumpulan yang terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah akan mendapat pembelaan lebih adil dan saksama," katanya.

Kerajaan, katanya, melaksanakan program MDAIM untuk anak masyarakat India bertujuan menawarkan peluang melanjutkan pelajaran khsususnya bagi mereka yang tidak mencapai gred kemasukan biasa ke institusi pengajian tinggi.

Katanya ini kerana kerajaan mengambil berat dan mengiktiraf peranan yang dimainkan kaum India yang banyak berjasa dalam membangunkan negara ini dan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan dan arus pembangunan negara.

"Mereka (masyarakat India) telah bekerja bersungguh-sungguh di estet-estet sehingga menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara utama mengeluarkan getah di dunia, selain banyak lagi peranan mereka seperti dalam Keretapi Tanah Melayu Berhad, Jabatan Kerja Raya dan sebagainya," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata program MDAIM yang memberi laluan khas terutama kepada anak India daripada keluarga berpendapatan rendah juga adalah usaha kerajaan untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam gejala sosial yang menyebabkan mereka boleh menjadi beban kepada masyarakat.

Sambil menyifatkan MDAIM sebagai satu program yang tepat pada masanya, Najib berkata ia menyasarkan untuk menawarkan tempat sehingga 1,600 setahun kepada anak masyarakat India mengikuti pengajian peringkat pra-diploma selama enam bulan dalam pelbagai bidang pengajian di politeknik seluruh negara.

Katanya anak-anak India yang terpilih mengikuti program ini juga menikmati elaun bulanan RM250 sebulan sepanjang tempoh pengajian bagi membantu meringankan beban mereka.

"Dengan cara ini bilangan tiga peratus orang India Malaysia pada masa kini akan kita tingkatkan sehingga 10 peratus dalam masa beberapa tahun akan datang. Oleh itu anggaplah ini sebagai satu lagi produk 1Malaysia. Anggaplah ini sebagai cerminan hasrat pimpinan kerajaan Barisan Nasional yang tidak hanya janji kosong tapi kita boleh melakukan pembaharuan kepada semua komuniti dalam negara ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan