MCA Serah Kepada Pucuk Pimpinan BN Buat Keputusan Mengenai Kawasan Ditandingi

Diterbitkan: Sabtu, 23 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menetapkan kerusi yang akan ditandingi parti itu dalam pilihan raya umum ke-13, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata sungguhpun terdapat permintaan daripada pelbagai pihak agar calon MCA bertanding di kawasan tertentu, namun keputusan akhir diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN.

"Bagi kami (MCA), kami telah menyerahkan nama calon-calon kepada Perdana Menteri dan kami serahkan kepada beliau untuk membuat keputusan akhir," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Wangsa Maju di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, Liow turut menerima memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Wangsa Maju yang menyokong pemilihan Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Yew Teong Look sebagai calon BN bagi Parlimen Wangsa Maju pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Saya terima memorandum ini dengan hati terbuka dan saya akan sampaikan kepada Perdana Menteri untuk makluman beliau.

"Mana-mana parti boleh berminat (bertanding) di mana-mana kerusi, tetapi apa yang dicari Perdana Menteri ialah calon boleh menang di mana-mana kerusi tertentu, dan kita bercakap mengenai kerusi Wangsa Maju.

"Kami (MCA) menerima banyak sokongan daripada rakyat dan kami sedang bekerja keras," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Yew kalah kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wee Choo Keong dengan majoriti 150 undi.

Wee kemudian keluar PKR dan menjadi anggota Bebas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan