Kerajaan Selangor Lebih Utamakan Kuasa Berbading Kebajikan Rakyat

Diterbitkan: Sabtu, 23 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor dibidas kerana lebih mengutamakan kuasa berbanding kebajikan rakyat apabila bertindak menggantung projek jalan raya dan prasarana Persekutuan di negeri itu hanya kerana keputusan mahkamah tidak berpihak kepada mereka.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata tindakan kerajaan pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu jelas menunjukkan mereka tidak berniat membawa kesenangan kepada penduduk yang memberi mandat untuk mereka memerintah.

"Mereka ini mahu menunjukkan kuasa. Apa sahaja projek yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), mereka tidak akan teruskan sedangkan ia membawa kebaikan kepada rakyat.

"Sebab itu mereka ini dikenali sebagai pembangkang, kerana apa sahaja yang dilakukan BN, mereka akan bangkang tanpa melihat sama ada perkara itu baik atau tidak.

"Contohnya projek jalan raya, rakyat perlu lihat tindakan mereka ini menyebabkan kereta mudah rosak disebabkan keadaan jalan yang teruk," katanya kepada Bernama selepas merasmikan kempen pendermaan organ dan program ibu tunggal di sini, Sabtu.

Maglin berkata demikian semasa diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor menggantung projek jalan raya dan prasarana Persekutuan di Selangor sementara menanti proses rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kes melibatkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Mahkamah Tinggi pada Khamis, memutuskan MPS tidak mempunyai kuasa untuk meruntuhkan tiang dan menutup kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Terdahulu dalam ucapannya, Maglin menggesa ibu tunggal di negara ini untuk tampil dan berjumpa dengan agensi sewajarnya bagi membolehkan mereka mendapat pembelaan dan bantuan sepatutnya.

Katanya ramai ibu tunggal mendiamkan diri menyebabkan mereka terpaksa mengharungi keperitan hidup seorang diri sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang amat prihatin dengan golongan itu.

"Saya berharap mereka yang memerlukan bantuan, contohnya bagi memulakan perniagaan dapat menghubungi agensi kerajaan seperti TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional) bagi mendapatkan pinjaman perniagaan," katanya.

Maglin juga berharap rakyat Malaysia menjadi penderma organ secara sukarela kerana terdapat ramai pesakit yang berdaftar sebagai penerima organ masih menunggu bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik.

Kempen pendermaan organ itu dianjurkan bersama Syarikat Viar Ventures Sdn Bhd dan Pusat Sumber Transplan Negara dan turut dihadiri Ketua Pengurus Klinikal pusat itu, Datin Dr Lela Yasmin Mansur. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan