Kementerian Pertahanan Pandang Berat Isu Penggunaan Pangkat Lepas Bersara

Diterbitkan: Sabtu, 23 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memandang berat isu penggunaan pangkat oleh pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara tanpa mendapat keizinan Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Ketua setiausaha kementerian itu Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penggunaan pangkat selepas bersara adalah satu kesalahan dan pegawai yang ingkar dengan arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

"Kementerian memandang serius perkara ini. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan semula pangkat (yang digunakan semasa) berkhidmat dengan ATM sedangkan mereka tidak dibenarkan oleh pemerintah tertinggi ATM iaitu Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas melawat Hari Terbuka Kementerian Pertahanan di The Curve, Damansara di sini, Sabtu.

Unit Komunikasi Korporat kementerian itu semalam mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut proses pemakaian gelaran pangkat terkandung dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) yang menetapkan syarat yang perlu ada pada seseorang pegawai sebelum layak menggunakan gelaran itu.

"Ada yang telah bersara, kalau dia dibenarkan oleh MAT untuk gunakan pangkat berkenaan, mereka boleh gunakan pangkat itu, kalau telah ditamatkan, dan tak dibenarkan guna pangkat tu, seharusnya tak gunakan. Memang ada akta di bawah MAT. Kebanyakan pesara wajib dibenarkan (menggunakan gelaran pangkat)," katanya.

Ismail berkata pada masa ini terdapat beberapa pegawai bersara yang menggunakan gelaran pangkat itu setelah mendapat keizinan MAT.

"Memang ada yang dibenarkan macam Kolonel bersara, Brig Jen bersara, tetapi bukan sewenang-wenangnya sebab ada yang telah dilucutkan. Secara puratanya tidak banyak yang boleh gunakan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan pertembungan PameranUdara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (Lima13') dengan pilihan raya umum ke-13, Ismail berkata ia tidak memberi kesan kepada pameran itu. "Ini bukan kali pertama sekiranya berlaku (pertembungan). Ini mungkin kali kedua atau ketiga penganjuran Lima dilakukan semasa parlimen dibubar. Ia tidak beri kesan pada Lima," katanya.

Hari terbuka selama tiga hari itu akan berakhir esok yang menerima penyertaan dari ketiga-tiga perkhidmatan udara, darat dan air.

Pada pameran itu juga, terdapat gerai pameran yeng menyediakan peluang pekerjaan dalam ATM.

"Kami harap program ini akan naikkan imej kementerian. Sambutan amat menggalakkan apabila ramai pengunjung yang datang terutama anak-anak muda untuk meninjau peluang pekerjaan dalam ATM. Ini menarik minat mereka untuk sertai ATM," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan