Muhyiddin Yakin Sabah Kekal Negeri BN Pada PRU-13

Diterbitkan: Jumaat, 22 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Sabah kekal sebagai negeri Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Katanya BN Sabah kini siap siaga untuk menghadapi PRU-13 dan telah memperbaharui tekad untuk mengulangi kemenangan cemerlang pilihan raya umum pada 2008 yang menyaksikan BN hampir menyapu bersih 60 kerusi negeri dan 25 kerusi Parlimen dan hanya kalah kepada DAP bagi kerusi negeri Sri Tanjung dan kerusi Parlimen Kota Kinabalu.

"Saya yakin bahawa dari segi persiapan, semua sudah bersedia sampai ke peringkat jentera BN yang nak mengelolakan pilihan raya di setiap kawasan.

"Tentang bancian yang kita buat di seluruh Sabah dari segi sikap pengundi, saya cukup berpuas hati kerana majoriti pemilih di peringkat bahagian di Sabah masih lagi cenderung menyokong BN.

"Saya amat yakin Sabah terus kekal sebagai negeri biru iaitu biru untuk BN. Itu adalah kenyataan berdasarkan fakta dan data-data yang disampaikan kepada saya," katanya yang juga Timbalan Pengerusi BN kepada pemberita selepas mendengar taklimat PRU-13 oleh pengerusi-pengerusi penyelaras BN Sabah di sini Jumaat.

Ketika ditanya pemberita mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti komponen BN Sabah, khususnya kerusi BN yang diperuntukkan kepada Parti Maju Sabah (SAPP) sebelum parti tersebut meninggalkan BN, Muhyiddin berkata perkara itu akan diputuskan tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN.

Beliau berkata tempoh beberapa minggu akan datang ini amat penting kepada B Nuntuk memperkukuhkan lagi kedudukan di setiap kawasan.

Katanya perhatian juga akan diberikan kepada kelompok pengundi tertentu seperti pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Beliau juga berpuas hati dengan hubungan baik di kalangan parti-parti komponen BN Sabah yang menjadi kekuatan barisan gabungan parti tersebut.

"Berbanding parti pembangkang, mereka masih dalam keadaan bercelaru. Kita tahu isu dan masalah dalam kalangan mereka adalah banyak.

"Tapi kita tidak ada masalah pun. Jadi itu adalah satu kekuatan BN yang kita akan pertahankan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan