Taman Tema Berkonsepkan 'Sea World' Dibina Di Melaka

Diterbitkan: Khamis, 21 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Sebuah taman tema berkonsepkan 'dunia laut' (Sea World) akan dibina di kawasan Dataran 1Malaysia di sini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, projek pelancongan melibatkan kos kira-kira RM300 juta di tanah berkeluasan 60.7 hektar itu akan menempatkan galeri ikan paus terbesar di negara ini yang bakal menjadi ikon pelancongan baru di Malaysia.

"Taman tema ini akan mempamerkan pelbagai spesies hidupan laut di dalam sebuah akuarium yang besar mengatasi Underwater World Langkawi," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek pelacongan itu di sini, Rabu.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, kawasan Dataran 1Malaysia itu turut akan menempatkan beberapa projek pelancongan lain termasuk pembinaan Dataran Peta Malaysia bernilai RM2 juta, 21 restoran bas dan 20 chalet bas bernilai RM2.7 juta serta tiga padang bola bernilai RM1.4 juta.

Selain itu, katanya sebanyak 2,000 unit rumah kos rendah bernilai RM42,000 seunit akan turut dibina di kawasan tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan