Enam IPTS Mula Jalani Semakan Kelestarian - Khaled Nordin

Diterbitkan: Khamis, 21 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Enam institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sedang menjalani semakan kelestarian iaitu satu 'pemeriksaan kesihatan' ke atas IPTS untuk memantau pentadbiran dan perkhidmatan serta program yang ditawarkan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tiga lagi IPTS sedang menunggu giliran untuk diperiksa.

"Tiada tempoh jangka masa ditetapkan untuk berapa lama semakan akan dibuat terhadap IPTS terlibat," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Januari lepas Mohamed Khaled berkata sembilan IPTS akan menjalani semakan kelestarian tahun ini iaitu Universiti Industri Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Malaysian University of Science and Technology, AIMST University, Twintech University College of Technology, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Linton University College, Kuala Lumpur Metropolitan University College dan Lincoln University College.

Semakan itu akan dilakukan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS bermula bulan ini supaya tindakan penambahbaikan boleh dilaksanakan selepas itu.

IPTS itu dipilih berdasarkan kelemahan atau aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung perkhidmatan dan prestasi mereka, atau yang dibuat secara rambang.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Rembau, Negeri Sembilan secara inisiatif pembiayaan swasta antara UiTM dan Konsesi Kota Permatamas Sdn Bhd, dengan nilai kontrak RM230 juta.

Menurutnya kampus itu yang berkeluasan kira-kira 32.37 hektar terletak kira-kira 14 kilometer dari Rembau dan akan menempatkan pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pengajian Maklumat.

"Pembinaan kampus ini dijangka bermula Sept depan dan dijangka siap Sept 2016 untuk kapasiti 3,000 pelajar di fakulti-fakulti, manakala kolej kediaman pula boleh menempatkan kira-kira 1,500 pelajar," katanya.

Sementara itu pada majlis berasingan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ab Rahim Mohd Noor menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman dalam bidang akademik dan penyelidikan termasuk penawaran program Ijazah Dwi Kejuruteraan Perniagaan antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Reutlingen University (RU) di Jerman.

Menurut Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, pelajar yang mendaftar dalam program ini di universiti itu akan berpeluang belajar selama tiga semester di RU, manakala pelajar RU juga berpeluang belajar di UMP selama empat semester. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan