Beberapa Kenyataan MB Selangor Termasuk Hendak Bubar DUN Hanya Gimik Politik - Noh Omar

Diterbitkan: Khamis, 21 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG KARANG: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Noh Omar pada Khamis berkata beberapa kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini termasuk mengumumkan hendak membubarkan dewan undangan negeri hanya satu lagi gimik politik beliau.

Noh mempersoalkan kenapa sampai sekarang Abdul Khalid tidak berani mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor walaupun mendakwa mendapat persetujuan Sultan Selangor.

Semalam, Abdul Khalid berkata beliau telah menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda bersetuju dengan hasrat kerajaan negeri membubarkan dewan tetapi menitahkan supaya pengumumannya dilakukan dengan tertib.

Abdul Khalid berkata beliau akan mengumumkan tarikh pembubaran itu pada masa yang sesuai dan pada masa yang sama beliau berkata kerajaan negeri tidak ada masalah untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya parlimen.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata ini tidak lebih daripada gimik politik kerana sebelum ini Abdul Khalid mempertikai daftar pemilih di Selangor dan ingin mengheret Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke mahkamah kerana kononnya pendaftaran pemilih tidak mengikut peraturan.

Bagaimanapun, sehingga sekarang tiada tindakan mahkamah diambil ke atas SPR, katanya kepada para pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Harun di sini, Khamis.

Pada minggu lepas, Abdul Khalid mengumumkan hendak membubarkan dewan selepas Chap Goh Mei tetapi kemudiannya beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan anggota-anggota dewan undangan negeri dari pakatan pembangkang terlebih dahulu, katanya.

"Akhirnya, DUN (Selangor) akan dibubarkan serentak dengan Parlimen. Hanya gimik politik nak tunjuk kuasa," katanya.

Begitu juga dengan isu air mengapa ketika hampir menjelang pilihan raya dan tamatnya mandat DUN Selangor April ini baharulah hendak mengeluarkan tawaran RM9.65 bilion semalam untuk mengambilalih empat syarikat konsesi air di negeri ini.

Empat syarikat itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, dan Konsortium Abbas Sdn Bhd.

"Kenapa sudah hampir lima tahun DUN sudah nak bubar baru nak cuba selesaikan penstrukturan industri air yang selama ini menemui jalan buntu," katanya.

Dalam masa yang sama, Noh juga menyelar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan pemberian BR1M bak memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.

Noh berkata beliau menyampaikan BR1M kepada 500 penerima yang layak dan dalam kalangan yang menerimanya ada para pemimpin dan anggota PAS.

"Kalau penerima BR1M itu umpama haiwan bermakna dia turut hina ahli PAS. Dasar BN kita bagi semua orang," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan