PM Malaysia, Singapura Rasmi Reka Bentuk Projek Ikonik Marina One

Diterbitkan: Rabu, 20 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kanan) bersama rakan sejawat dari Singapura Lee Hsien Loong (tiga, kiri) melihat model rumah selepas melancarkan reka bentuk Marina One di Medini Iskandar Malaysia di Johor, Selasa. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kanan) bersama rakan sejawat dari Singapura Lee Hsien Loong (tiga, kiri) melihat model rumah selepas melancarkan reka bentuk Marina One di Medini Iskandar Malaysia di Johor, Selasa. -fotoBERNAMA

SINGAPURA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong pada Selasa merasmikan reka bentuk Marina One, iaitu pembangunan bersepadu di tengah-tengah Daerah Perniagaan Pusat (CBD) baharu Singapura.

Projek itu dikendalikan oleh M+S Pte Ltd, syarikat yang dimiliki secara 60:40 oleh Khazanah Holdings Bhd dan Temasek Holdings Pte Ltd.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Lee menyifatkan Marina One amat penting untuk Singapura dan Malaysia sambil menyatakan ia akan menjadi "projek ikonik dalam daerah perniagaan baharu kita untuk beberapa tahun akan datang."

Najib pula menyatakan yang beliau amat teruja dapat menyaksikannya sendiri.

"Saya rasa ia akan mempunyai reka bentuk yang menawan dan Marina One sudah pastinya akan memenuhi jangkaan kita memandangkan kita mahukan sebuah bangunan mercu tanda dan ikonik.

"Marina One ialah permulaan kepada bangunan ikonik itu. Apa yang kita lihat hari ini hanyalah permulaan kepada satu projek contoh," tambah beliau.

Terdahulu, pada majlis perasmian di galeri pameran Marina One, pengerusi Lembaga Pengarah M+S, Tan Sri Azman Yahya memperkenalkan pembangunan itu sebagai satu destinasi perniagaan dan gaya hidup rebutan ramai ekoran lokasinya yang strategik di wilayah Marina South.

Pembangunan Marina One akan direka bentuk oleh arkitek terkenal dunia, Christoph Ingenhoven1, yang dikenali kerana reka bentuk hijau dan mapan berkelas dunia seperti Bank Pelaburan Eropah di Luxembourg, ibu pejabat Google di Mountain View, California dan 1 Bligh di Sydney, yang telah diiktirafkan dengan "International Highrise Award" 2012/2013.

Mengulas mengenai lokasi strategik Marina One, Azman berkata: "Marina One menandakan sejarah baharu dalam Pelan Induk Marina Bay.

"Kerjasama yang penuh makna antara Malaysia dan Singapura ini akan meletak Marina One di skala luar biasa peta dunia sebagai pusat kewangan baharu yang menarik perniagaan."

Pada bulan November 2012, M+S telah memperkenalkan pembangunan bersepadu yang lain, DUO di Ophir-Rochor, Singapura.

Kejayaan memperkenalkan Marina One dan DUO menandakan perkembangan ketara yang telah dibuat sejak kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan pertukaran Perjanjian Pegangan Saham M+S di Putrajaya pada 5 Januari, 2012.

Kedua-dua Perdana Menteri juga akan memperkenalkan pembangunan kesejahteraan bandar dan kesejahteraan resort di Medini Iskandar Malaysia lewat hari Selasa.

Apabila siap pada tahun 2017, Marina One, dengan ruang lantai kasar 3.67 juta kaki persegi (340,954 meter persegi), akan menjadi bandar eksklusif untuk kediaman dan bekerja.

Ia akan menawarkan perhubungan tanpa sempadan ke saling hubungan terbesar dan paling terhubung Singapura, Mass Rapid Transit (MRT) menjelang 2016.

Marina One dan DUO ialah dua projek yang dikendalikan oleh M+S dalam urus niaga pertukaran tanah pada 2010 antara Singapura dan Malaysia, dengan tanah landasan kereta api Malaysia di Tanjong Pagar, Kranji, Bukit Timah dan Woodlands dikembalikan kepada Singapura sebagai pertukaran untuk empat bidang tanah di Marina South dan dua di Ophir-Rochor.

Projek itu mempunyai jumlah nilai pembangunan $11 bilion.

CapitaLand dan UEM Land Holdings ialah pengurus projek untuk DUO.

UEM bekerjasama dengan Mapletree Investments untuk menguruskan Marina One. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan