Polis Buru Individu Bunuh Spesis Hampir Pupus

Diterbitkan: Selasa, 19 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Polis kini memburu individu yang bertanggungjawab membunuh Beruang Matahari dan kuda lumba spesis 'Thoroughbred' yang ditemui mati disyaki diracun melalui makanan di Zoo Melaka dan Safari Malam.

Pegawai Veterina Zoo Melaka, Dr Zubaidah Kamarudin berkata beruang betina berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati 5 petang Ahad sementara kuda lumba yang diberi nama 'Basket', 17, ditemui mati 7 pagi Isnin.

Beliau berkata dalam kejadian pertama semalam, beruang itu dilaporkan dalam keadaan pelik oleh pelawat yang mengunjungi zoo tersebut.

"Apabila penjaga haiwan dan penyelia zoo tiba di kandang menempatkan beruang itu, ia masih hidup tapi mengalami sawan, air liur meleleh dan cirit-birit sebelum mati dalam masa yang singkat kira-kira lima minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di zoo tersebut pada Isnin.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan 8 malam Isnin, beruang yang dijaga sejak tahun 2000 itu mati disebabkan makan pisang yang disyaki mengandungi sejenis serbuk racun.

Katanya kematian tersebut terlalu cepat berpunca daripada kerosakan saluran makanan yang teruk.

Dr Zubaidah berkata dalam kejadian kedua, 'Basket' ditemui mati dalam keadaan rebah di kandangnya 7 pagi Isnin dan bedah siasat turut dijalankan petang Isnin.

Beliau berkata pihak zoo turut menjumpai sebungkus beg plastik mengandungi buah limau, pisang dan tebu yang dipercayai telah dimasukkan sejenis serbuk dipercayai racun di kandang haiwan Cimpanzi.

Katanya bagaimanapun buah-buahan yang dipercayai dibawa dari luar itu tidak dimakan Cimpanzi tersebut.

"Kita syak ia adalah perbuatan sabotaj kerana selalunya haiwan di sini diberi makan selepas 5.30 petang namun kejadian yang berlaku sebelum ia diberi makan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sampel makanan yang ditemui dalam kedua-dua perut haiwan tersebut dan serbuk dalam buah-buahan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui jenis racun yang digunakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah yakin penjenayah berkenaan akan dapat ditangkap tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sebaliknya sumber yang dipercayai berkata polis kini sedang mengenalpasti dua bekas penjaga zoo dilihat cuba memberi makan kepada haiwan di tempat kurungan gajah.

"Mereka melarikan diri dengan plastik makanan apabila dilihat oleh bekas rakan sekerja mereka," kata sumber berkenaan. Sumber itu juga percaya dua individu berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan pengusaha zoo swasta. Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata ekoran kejadian itu, kerajaan negeri mengambil keputusan melarang orang ramai memberi makanan kepada haiwan di zoo tersebut serta-merta berkuat kuasa hari ini.

"Kalau mereka nak bagi haiwan makan, mereka perlu membeli makanan daripada pihak zoo dan hanya haiwan yang dibenarkan sahaja boleh diberi makanan sebagai langkah mengelak kejadian sama berlaku," katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat oleh Dr Zubaidah di zoo itu.

Beliau berkata pihak pengurusan zoo juga diminta memasang kamera litar tertutup yang besar sebagai langkah keselamatan.

Katanya kerajaan negeri juga menawarkan RM10,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut sehingga tertangkapnya individu yang melakukan perbuatan sabotaj itu.

Mohd Ali berkata kuda lumba yang merupakan milik persendirian itu ditempatkan di zoo berkenaan sejak tiga tahun lepas sementara Beruang Matahari adalah milik zoo yang mempunyai empat ekor haiwan jenis itu.

Beliau berkata kejadian tersebut menyebabkan zoo berkenaan kerugian RM5,000 dan laporan polis turut dibuat.

Difahamkan Beruang Matahari itu ditempatkan di Zoo Melaka selepas dijumpai di kawasan hutan di Johor.

Dalam pada itu, pemilik asal kuda lumba berkenaan sebelum ini mengambil keputusan untuk menyimpan kuda itu di Zoo Melaka kerana mendapati kawasan persekitaran bukan habitat yang sesuai untuk haiwan berkenaan.

Zoo Melaka dan Safari Malam terletak di kawasan seluas 21.22 hektar, dan ia merupakan zoo kedua terbesar di negara ini selepas Zoo Negara.

Kira-kira 1,200 spesies haiwan ditempatkan di sini termasuk 215 jenis burung, haiwan mamalia, reptilia dan amfibia. Tarikan utama zoo berkenaan adalah haiwan yang hampir pupus seperti, Badak Sumatra, Beruang Matahari, Serow dan Harimau Malaya, Lembu Gaur.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan