Xenophon Ancaman Kepada Kestabilan Dan Keharmonian Negara

Diterbitkan: Isnin, 18 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Larangan ke atas Senator Australia Nick Xenophon daripada memasuki negara ini merupakan langkah terbaik mengekalkan kesejahteraan Malaysia memandangkan beliau adalah ancaman kepada kestabilan dan keharmonian negara, demikian pandangan cendekiawan dan penganalisis politik tanah air hari ini.

Bagi mereka, dengan larangan itu, ia dapat memastikan Xenophon tidak terus menjadi duri dalam kestabilan dan keharmonian negara dengan rekodnya yang mengancam kesejahteraan negara, termasuk terlibat dengan perhimpunan haram Bersih 3.0.

Xenophon ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada Sabtu lepas setelah didapati mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara dan tindakan itu mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 oleh Jabatan Imigresen.

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) Dr Chandra Muzaffar berkata Malaysia tidak memerlukan pemerhati yang cenderung kepada sebelah pihak seperti Xenophon yang didakwanya berniat memperlekeh proses pilihan raya di negara ini.

"Sekiranya dia mahu menjadi pemerhati yang bebas, mohon dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), ini sesuatu yang tidak masuk akal nak jadi pemerhati bebas sedangkan ramai sedia maklum dia memang cenderung kepada satu pihak," katanya.

"Mereka yang benar-benar mahu memastikan pilihan raya kita yang bebas dan adil harus bekerjasama dengan SPR mengukuhkan sistem pemilihan ini melalui jawatankuasa terpilih Parlimen," katanya.

Bagi Profesor dan Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Kelantan, Prof Datuk A Halim Sidek berkata larangan ke atas Xenophon memasuki negara ini tidak menjejaskan hak asasi manusia.

A Halim berkata setiap negara di dunia ini berhak melakukan perkara sama berdasarkan undang-undang negara itu demi kestabilan dan keharmonian negara mereka dan tindakan sebegitu adalah wajar bagi sesebuah negara bebas, merdeka serta berdaulat seperti Malaysia.

Beliau berkata tindakan tersebut tidak menimbulkan isu kerana kebenaran masuk ke negara ini adalah hak keistimewaan Malaysia, dan kerajaan berhak menghalang atau menghantar pulang seseorang itu ke negara asalnya sekiranya individu itu dikhuatiri mengundang kekacauan.

Dalam konteks penahanan Xenophon ini, segala maklumat peribadi mengenai beliau itu telah diketahui dan ia diperoleh daripada sumber yang dipercayai termasuklah pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri, katanya.

Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Jamal berkata tindakan menahan dan menghantar semula Xenophon ke negara asalnya adalah satu tindakan berani bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

"Tindakan ini bukanlah perkara luar biasa, tambahan pula secara jelas beliau (Xenophon) terbukti mampu menggugat imej dan reputasi negara kita.

"Mengambil contoh negara barat seperti Amerika Syarikat. Negara itu juga tidak membenarkan seseorang individu itu untuk masuk ke negara mereka sekiranya individu tersebut mempunyai profil yang mencurigakan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan