Kementerian Luar Hantar Wakil Ke Lubnan Akan Ikuti Perbicaraan Kes Claudia - Berita Semasa | mStar

Kementerian Luar Hantar Wakil Ke Lubnan Akan Ikuti Perbicaraan Kes Claudia

Diterbitkan: Isnin, 18 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan menghantar wakil untuk mengikuti perbicaraan di Lubnan jika ada individu yang didakwa di mahkamah negara tersebut ekoran kes kematian penerbit berita Inggeris portal berita Al-Jazeera mendiang Claudia Theophilus.

Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay berkata Kedutaan Malaysia di Lubnan masih memantau perkembangan siasatan kes berkenaan. "Setakat ini siasatan masih lagi dijalankan oleh pihak berkuasa Lubnan," katanya selepas merasmikan Pusat Maklumat rangkaian Apollo Hospitals Group di sini, Isnin.

Pada 2 Feb lepas, Claudia, 42, yang bertugas di ibu pejabat Al-Jazeera English di Doha, Qatar maut selepas terkena tembakan secara tidak sengaja ketika bercuti di kawasan pergunungan Baakleen di Lubnan.

Mayat mendiang tiba dari Lubnan pada 9 Februari sebelum disemadikan di Seremban pada 11 Februari.

Sementara itu mengenai dua rakyat Malaysia yang berada dalam tahanan di Lubnan, Kohilan berkata siasatan masih dijalankan.

Bulan lalu mahkamah Lubnan yang mendengar kes dua rakyat Malaysia yang ditahan di Beirut kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Al Qaeda tidak memutuskan sama ada tuduhan ke atas mereka digugurkan atau perlu dibicarakan dalam tribunal tentera.

Pada 18 Oktober tahun lepas, dua rakyat Malaysia Razif Mohd Ariff, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, ditahan pihak berkuasa Lubnan di Beirut sebelum dihadapkan ke Tribunal Tentera negara tersebut.

Mereka mengaku tidak bersalah dan ditahan pihak berkuasa keselamatan Lubnan sehingga hari ini. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan