Beri Mandat Pada BN Majukan Kelantan - PM

Diterbitkan: Ahad, 17 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib melaungkan 1Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Himpunan Perdana bersama Anak-Anak Kelantan. Foto BERNAMA
Najib melaungkan 1Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Himpunan Perdana bersama Anak-Anak Kelantan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad menggesa rakyat Kelantan supaya memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang bagi membawa kemajuan ke negeri itu demi masa depan generasi akan datang.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak mahu lagi melihat rakyat Kelantan terpaksa berhijrah keluar dari negeri mereka demi mengecap kehidupan lebih baik, yang tidak mampu diberi kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang.

"Saya sedih dengar setengah juta orang Kelantan terpaksa berhijrah keluar. Saya tidak mahu ada sejuta lagi orang Kelantan berhijrah keluar. Orang Kelantan ini cekap, malah ramai tokoh di negara kita orang Kelantan seperti Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin).

"Saya percaya barisan ini (tokoh) mampu bantu kerajaan beri perubahan kepada Kelantan jika diberi mandat (memerintah Kelantan)," katanya ketika berucap merasmikan 'Himpunan Perdana Anok-Anok Kelate Di Perantauan 2013' di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.

Turut hadir pada majlis yang disertai kira-kira 15,000 anak Kelantan itu ialah isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Najib berkata, dalam memberi perubahan besar 'gelombang merah' kepada Kelantan, kerajaan BN berdiri teguh di atas dua prinsip penting iaitu Islam dan kemajuan.

"Kita nak Islam dan kita nak juga kemajuan. Islam ini agama kemajuan, maka prinsip inilah yang memastikan kejayaan kita memajukan Kelantan nanti. Kejayaan inilah yang akan dibawa 'gelombang merah' nanti.

"Kita tak mahu macam mana dia janji bulan, bintang, syurga dan nak pertahan Islam. Tetapi bila kalimah Allah dipersoal, di mana mereka? Sudah cukup, kita tukar, bo la wei (sudah-sudah lah tu)," katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN akan memastikan hak rakyat Kelantan dalam isu tanah di negeri itu terbela dan pertanyaannya kepada hadirin siapa yang dapat tanah disambut jawapan, "DAP".

"Setiap inci tanah Kelantan akan kita perjuangkan, hak tanah Kelantan akan kita perjuangkan, 10,000 ekar tanah (yang didakwa diperoleh pemimpin DAP) ini hak rakyat Kelantan. (Kerajaan negeri Kelantan) Dosanya tamak, tanah ini hak siapa kalau bukan rakyat Kelantan," tegasnya.

Kerajaan BN, kata Najib, akan memperbetul segala kesalahan yang dibuat kerajaan negeri pimpinan PAS dalam isu tanah itu apabila diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan kelak.

Isu tanah itu timbul apabila sebuah blog, pisau.net mendakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menawarkan tanah seluas 4,259.9 hektar di negeri itu kepada Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming untuk menerima Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata, tujuh janji BN kepada rakyat Kelantan yang diumumkan beliau bulan lepas di negeri itu akan dimasukkan sebagai manifesto BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Antara (janji itu) jika kita dapat laksanakan lebih awal, kita laksanakan untuk memberi keyakinan kepada rakyat Kelantan untuk tukar (kerajaan negeri).

"Kita lakukan perubahan yang besar, bumi Kelantan ini kita jadikan gelombang merah," katanya.

Janji itu merupakan tujuh projek merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baru, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain ialah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Kolumnis

iklan

Iklan