PM Lawat Singapura, Iskandar Malaysia Bagi Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia - Singapura

Diterbitkan: Sabtu, 16 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja rasmi dua hari ke Singapura dan Iskandar Malaysia, Johor mulai Isnin ini sempena sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura ke-4.

Sesi pemukiman itu merupakan forum dua hala peringkat tertinggi bagi membincangkan pelbagai isu dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama kepada Malaysia dan Singapura.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Najib dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan menyorot perkembangan kerjasama yang sedang berlangsung di samping meneroka inisiatif-inisiatif baharu ke arah memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara berjiran dan rakan dalam Asean.

Najib dan Lee juga dijadual melancarkan pembangunan-pembangunan bersama oleh Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings (Private) Limited di Singapura dan di Iskandar Malaysia, Johor.

Pembangunan bersama itu terdiri daripada projek Marina One dan projek DUO yang dilaksanakan oleh M+S Pte Ltd di Singapura serta projek Urban Wellness dan projek Resort Wellness oleh Pulau Indah Ventures Sdn Bhd di Iskandar Malaysia.

Semasa lawatan itu, Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, beberapa menteri kabinet serta pegawai-pegawai kanan kerajaan, kata kenyataan itu. Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan di akhir sesi pemukiman itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan