Ceroboh: Penduduk Lahad Datu Diminta Tidak Bimbang

Diterbitkan: Khamis, 14 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Penduduk di daerah ini tidak perlu bimbang dengan kejadian sekumpulan lelaki rakyat asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke sini pada Selasa.

Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi berkata keadaan keselamatan adalah terkawal dengan pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan tentera memantau mengenai kejadian itu.

"Saya yakin pasukan keselamatan telah melakukan tindakan susulan yang terbaik bagi memastikan keadaan keselamatan di daerah ini terus terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihak berkuasa keselamatan berjaya mengesan sekumpulan lelaki asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu.

Beliau berkata kumpulan itu menceroboh masuk disebabkan masalah yang berlaku di selatan Filipina.

Ismail dalam kenyataan tiga perenggan yang dikeluarkan pada pukul 8.30 malam tadi berkata pihak pihak keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan itu dan mengarahkan kumpulan terbabit meletak senjata serta menyerah diri.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang," kata ketua polis negara.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Tungku di kawasan Kampung Bakapit sejak Selasa lepas.

Beberapa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) juga dilihat berada di kawasan Bandar Cenderawasih di Felda Sahabat 7 untuk melakukan kawalan keselamatan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan