Alumni, Warga UiTM Kesal Insiden Tunjuk Isyarat Lucah Kepada Raja Permaisuri Agong

Diterbitkan: Rabu, 13 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Lebih 700,000 alumni, warga kerja dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap tindakan seorang lelaki dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, Isnin lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Alumni UiTM Datuk Ahmad Shafee Sabaruddin berkata perbuatan suspek berusia 29 tahun itu merupakan satu penghinaan kepada seluruh institusi raja Melayu dan bercanggah dengan prinsip Rukun Negara.

"Secara langsung ia adalah satu penghinaan terhadap warga kerja, pelajar serta alumni UiTM di mana Yang di-Pertuan Agong adalah Canselor UiTM.

"Kami berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap lelaki itu atas perbuatan melampaunya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini petang Rabu.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari, Isnin lepas, suspek yang juga graduan dari sebuah universiti di Scotland dipercayai menunjukkan isyarat lucah ketika kenderaan yang dinaiki Tuanku Hajah Haminah melalui lapangan terbang berkenaan.

Lelaki itu dikatakan bertindak demikian selepas berlaku pertengkaran antara suspek dengan bapanya menyebabkan dia melepaskan geram dengan menunjukkan isyarat lucah dan secara kebetulan kereta Permaisuri Agong lalu di kawasan itu.

Suspek ditahan reman sehingga 14 Feb ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mengenai kesopanan di tempat awam, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ahmad Shafee berkata laporan polis itu juga dibuat bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya memperlekeh kesultanan Raja Melayu.

"Kadang-kadang kita rasa dihina, bila mereka lakukan perbuatan biadap dengan satu perkataan 'maaf' sahaja kita dah maafkan, lain kali orang lain juga akan lakukan perkara yang sama juga.

"Kami harap perbuatan biadap ini diambil serius dan meminta polis menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya berpadanan dengan tindakan lelaki itu," katanya. -- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan