PM Lawat Johor, Bermesyuarat Dengan Pemimpin Umno Dan BN Negeri

Diterbitkan: Selasa, 12 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan lawatan seharinya ke Johor pada Selasa dengan menghadiri mesyuarat tertutup dengan pemimpin-pemimpin Umno negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden Umno, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Lain-lain pemimpin Umno Johor yang turut menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri termasuk Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengadakan mesyuarat tertutup dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN Negeri Johor.

Pemimpin BN Negeri yang kelihatan pada mesyuarat termasuk Presiden MCA dan Pengerusi MCA Johor, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Selain mengadakan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin Umno dan BN negeri, beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor juga dijadual menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Johor di Senai, Kulaijaya.

Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan majlis cabutan undi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Nusantara PR1MA di Dewan Raya Bandar Putra, juga di Kulaijaya.

Perdana Menteri dan isteri dijangka berlepas pulang ke ibu negara selepas majlis itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan