PM Lakukan Tinjauan Mesra Di Persiaran Gurney

Diterbitkan: Isnin, 11 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Orang ramai yang berada di kawasan Persiaran Gurney di sini, terutama di gerai makanan, terkejut apabila dihampiri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan tinjauan mesra di kawasan itu Ahad malam.

Dalam tinjauan itu, perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra dan bersalaman dengan pengunjung serta peniaga.

Najib dan isteri turut menjamu selera beberapa makanan seperti sate, laksa, pasembur dan air kelapa yang dijual di gerai yang terdapat di situ.

Terdahulu, Najib berjalan kaki kira-kira 100 meter dari Hotel G ke Persiaran Gurney selepas menghadiri jamuan malam sempena Tahun Baharu Cina bersama media Pulau Pinang.

Seorang peniaga laksa, Rosni Mohd Yusof berkata beliau berbangga kerana perdana menteri dan isteri memilih gerainya untuk menjamu selera.

Beliau yang berniaga di situ sejak 10 tahun lepas berkata ini kali pertama pemimpin nombor satu negara datang menikmati makanan di kawasan itu yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan.

"Seronok la pertama kali perdana menteri mai (datang) makan laksa kat sini. Rasa bangga, rasa seronok...tak pernah orang besar macam ni mai makan kat sini," katanya kepada Bernama.

Peniaga sate, Mohd Zairul Izwan Mohd Idrus berkata beliau terkejut apabila tiba-tiba perdana menteri sampai di gerainya terus mengambil kipas lalu mengambil alih tugasnya mengipas sate.

"Tiba-tiba dia ambil kipas dan kipas sate yang sedang dibakar. Saya tergamam tetapi dalam masa yang sama gembira dan terharu melihat perdana menteri begitu mesra dengan rakyat.

"Terima kasih banyak-banyak kepada perdana menteri kerana sudi menikmati sate resepi keluarga kami," katanya.

Stephen Wong, 27, berkata beliau yang nampak Perdana Menteri berjalan kaki di hadapan Plaza Gurney, terus mendekatinya untuk bersalaman.

"Dari jauh saya nampak ramai orang dan bila dilihat rupa-rupanya perdana menteri. Jadi, saya ambil peluang untuk pergi lebih dekat dengannya dan berjaya bersalaman. Beliau turut mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai'," katanya kepada Bernama.

Kamariah Shamsudin, 45, yang bercuti di Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina berkata beliau terkejut dengan kehadiran perdana menteri di kawasan berkenaan.

"Kami sekeluarga berasa sangat bertuah kerana dapat melihat pemimpin nombor satu negara dengan lebih dekat dan tak sangka beliau kelihatan sangat mesra dan bersalaman dengan semua orang berhampirannya," kata Kamariah yang berasal dari Selangor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan