SPR Belum Dimaklumkan Hasrat PR Adakan Pilihan Raya Awal

Diterbitkan: Sabtu, 9 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, bagaimanapun pakatan pembangkang perlu memikirkan kepentingan semua pihak bukan semata-mata kepentingan politik sahaja.

"Contohnya kerajaan Selangor, mereka tidak maklumkan apa-apa kepada SPR...kita tunggulah lepas Chap Goh Mei ini sama ada kerajaan Selangor hendak bubar (Dewan Undangan Negeri) ataupun tidak...bagi pihak SPR, kita akan menjalankan tugas mengikut undang-undang," katanya kepada Bernama ketika ditemui malam Jumaat selepas diwawancara dalam program Hello Malaysia di Bernama TV.

Wan Ahmad berkata, isu pembubaran tidak seharusnya dipolitikkan meskipun kerajaan negeri mempunyai hak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Tetapi perlu diingat bahawa hak itu perlu mendapat perkenan daripada sultan justeru kita perlu menghormati kuasa raja juga, walaupun kuasa itu disebut perkenan sahaja, tetapi itu cara kita bersopan".

Beliau berkata, masyarakat yang akan rugi sekiranya diadakan pilihan raya berasingan kerana ia akan mengakibatkan pembaziran dan menelan belanja yang amat tinggi malah akan menjejaskan perjalanan kelas dan mengganggu tugas guru.

"Belanjanya menjadi lebih dan kerjanya dua kali kerana guru yang menjadi petugas pilihan raya perlu bekerja dua kali dan sekolah-sekolah yang dijadikan pusat mengundi juga terpaksa ditutup," katanya.

Katanya, walaupun kerajaan negeri membubarkan DUN tetapi penetapan tarikh pilihan raya di bawah kuasa SPR, justeru lebih baik dibuat serentak dengan PRU-13 yang semakin hampir.

"Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor iaitu Perlembagaan Negeri Selangor menyebut kalau DUN dibubarkan awal, maka akan dikira 60 hari daripada tarikh pembubaran itu untuk SPR mengadakan pilihan raya bagi negeri itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyangkal andaian proses pilihan raya umum kali ini adalah terkotor dan menegaskan sebaliknya ia akan mencatat sejarah tersendiri buat negara apabila begitu banyak pembaharuan dan penambahbaikan diperlihatkan.

Katanya, SPR telah memperkenalkan pembaharuan dalam usaha mengemaskini serta memperbaiki proses pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal, undi awal, wujudnya akses media bagi semua parti politik, pemerhati antarabangsa dan pemerhati tempatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa senarai daftar pemilih adalah bersih dan proses PRU-13 akan menjadi yang terbaik.

"SPR membersihkan senarai daftar pemilih setiap hari dengan menyemak secara online dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana JPN mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu adalah warganegara atau bukan warganegara.

"Cukuplah cerita dan tohmahan mengenai data pemilih tidak bersih.. tidak ada satu data pemilih dalam dunia yang seratus peratus bersih tetapi SPR sebaik mungkin hendak menyediakan data pemilih yang sebersih mungkin," katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, bantahan ataupun perkara seperti rasuah, penyogokan dan lain-lain pada PRU-13 nanti dan mempunyai bukti, mereka boleh menyalurkannya kepada pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan