Kerjasama Malaysia-China Perlihat Hasil Ketara - PM

Diterbitkan: Khamis, 7 Februari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Melalui pelbagai usaha yang dibuat oleh perdana-perdana menteri Malaysia sebelum ini, hubungan Malaysia-China menjadi semakin erat dan mesra, skop kerjasama telah diperluas dan dipertingkat, dan menyaksikan hasil yang ketara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bapanya, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak menjadikan Malaysia negara Asia Tenggara pertama mewujudkan hubungan diplomatik dengan China, sekali gus mengukuhkan persahabatan Malaysia-China dan membuka jalan bagi perkembangan persahabatan yang erat dan mesra.

Najib, yang telah tiga kali bertemu dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao dalam tahun lepas berkata mereka membincangkan cadangan projek usahasama yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

"Taman Perindustrian Qinzhou, daripada konsep hingga pelaksanaan, dan Taman Perindustrian Kuantan dari hanya cadangan semata-mata hingga pelancaran semalam, amat penting kepada kita dan kepentingan kritikal untuk pembangunan jangka panjang kita," kata beliau.

Mesej Najib berkenaan dibacakan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting malam tadi, pada satu majlis dihoskan oleh organisasi kaum Cina untuk mengalu-alukan Jia Qinglin, Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC) di sini. "Susulan pengiktirafan bersama kelayakan universiti, program pertukaran belia dan projek panda merupakan bukti kerjasama baharu kedua-dua negara," kata beliau. Berikutan ini, kerajaan China membuat keputusan bersejarah dalam meluluskan penubuhan kampus di luar negara oleh Xiamen University, antara 20 universiti terbaik China.

Najib berjanji untuk memberi sokongan penuh dan memberi bantuan bagi pembangunan kampus tersebut.

Perdana Menteri telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Xiamen University Sunsuria Development of Malaysia pada Selasa.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China berkembang dengan pesat sejak 2009 dan China telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia, manakala Malaysia juga menjadi rakan perdagangan terbesar China di kalangan negara-negara ASEAN.

Najib percaya aliran meningkat yang menggalakkan itu boleh dikekalkan supaya akan ada lebih banyak kejayaan dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan dan pertukaran budaya serta di peringkat rakyat, dan membawa kepada situasi yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak pada masa hadapan.

Majlis makan malam itu dianjurkan bersama oleh Majlis Perniagaan Malaysia-China, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Huazong, Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-China, Persatuan Menyokong Dasar Satu China Malaysia dan Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Tujuh Puak Cina.

Jia Qinglin yang menyifatkan lawatan empat hari beliau ke Malaysia sebagai membuahkan hasil dan berjaya berkata perbincangannya dengan Najib suatu yang produktif dan mencapai persetujuan penting berhubung melanjutkan kerjasama strategik dua hala, selain menyaksikan majlis pelancaran Taman Perindustrian Kuantan.

Beliau berkata Malaysia dan China telah menyaksikan perkembangan pesat hubungan dengan mempunyai kerjasama strategik dalam banyak bidang.

"Pada 2011, perdagangan dua hala melebihi US$90 bilion, sepuluh kali jumlah pada masa 10 tahun lalu. Dalam tempoh yang sama, pelaburan langsung bukan kewangan China di Malaysia meningkat daripada US$34.7 juta kepada US$630 juta, dan pelaburan Malaysia di China berganda."

"Dua institusi Confucius di Malaysia dan Pusat Penyelidikan Melayu di China telah ditubuhkan melalui usaha bersama antara kedua-dua negara. Bilangan pelajar China di Malaysia dan pelajar Malaysia di China telah mencapai 14,000. Terdapat hampir 3,000,000 lawatan dua hala antara kedua-dua negara setiap tahun, " katanya.

Jia berkata pembangunan China memberi rangsangan yang kuat kepada pembangunan negara-negara di rantau ini, dan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia.

"Sejak 10 tahun yang lalu, perdagangan antara China dan negara jirannya berkembang daripada US$170 bilion kepada US$1 trilion, manakala pelaburan dalam negara ini juga telah menyaksikan pertumbuhan dua angka setiap tahun."

Dengan China dan negara jirannya bekerja keras untuk memenuhi sasaran masing-masing, China menyasar untuk mencapai US$8 trilion dalam tempoh Rancangan Lima Tahun ke-12 manakala Malaysia sedang berusaha untuk merealisasikan Wawasan 2020, potensi yang lebih besar dan tenaga kerjasama akan terserlah, kata Jia.

Sementara itu, Ong Ka Ting yang juga Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China menghargai kepimpinan China di atas sokongan kuat dan perhatian istimewa kepada masyarakat Cina Malaysia dalam tempoh 10 tahun yang lalu, terutamanya oleh Wen Jiabao dan Jia Qinglin.

Beliau berkata pertubuhan-pertubuhan Cina tempatan telah bekerja keras dalam menyumbang ke arah hubungan rapat dan persahabatan antara Malaysia dan China sejak beberapa dekad lalu. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan