Pertubuhan Wakili Kaum Perlu Kekal Keharmonian - TPM

Diterbitkan: Rabu, 30 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pertubuhan yang mewakili kaum tertentu mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan bangsa di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pertubuhan seperti itu kerap kali menyuarakan hasrat sesuatu kaum dan mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.

Menganggap ianya satu perkembangan yang sihat, Muhyiddin berkata pintu perundingan kerajaan sentiasa terbuka untuk mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu isu dalam usaha menjaga kepentingan semua kaum.

"Namun hari ini ada pihak-pihak tertentu yang lebih cenderung melakukan provokasitermasuk dengan melakukan demonstrasi, bantahan atau rapat umum untuk menuntut hak sesuatu kaum atau agama," katanya.

Beliau berkata demikiandi majlis makan malam sempena ulang tahun ke-21 dan kempen rayuan derma tabung pembinaan bangunan Huazong di sini, malam Rabu.

Turut hadir presiden Huazong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia Datuk Chai Xi, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pengasas Sunway Group yang juga wakil patron bangunan Huazong Tan Sri Dr Jeffrey Chuah.

Menganggap perundingan dalam semangat muhibbah adalah cara terbaik, Muhyiddin berkatakerajaan Barisan Nasional sentiasa mengalu-alukan pandangan masyarakat pelbagai kaum sebelum melaksanakan sesuatu dasar.

"Cara bertindak dan berfikir kita sudah berubah, kerajaan tidak lagi memonopoli kebijaksanaan, malah menerima hakikat bahawa suatu keputusan yang bijaksana boleh dihasilkan menerusi perbincangan dengan pelbagai pihak," katanya.

Muhyiddin turut menghargai Huazong, sebagai pertubuhan yang berpengaruh dalam masyarakat Cina, dalam memberikan maklum balas secara jujur kepada kerajaan mengenai pelbagai isu penting mewakili kaum itu.

"Sesungguhnya kerajaan sentiasa mengalu-alukan pandangan yang dikemukakan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang berniat murni untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyampaian replika cek kepada tabung pembinaan bangunan Huazong di Kajang antaranya daripada Dr Jeffrey Cheah berjumlah RM5 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan