Keadaan Di Pusat Tahanan Sementara Baik - Saksi

Diterbitkan: Rabu, 30 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang saksi warganegara Indonesia memberitahu pada Rabu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah, keadaan dan kemudahan disediakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS), Sandakan, adalah baik.

Nisa Rahman yang ditahan di PTS sementara menunggu dihantar pulang ke negaranya berkata dia diberi makan tiga kali sehari, dengan kemudahan tandas, kipas, selimut, kesihatan dan juga keperluan wanita.

Menjelaskan keadaan di PTS, saksi ke-42 itu berkata dalam satu blok, terdapat lebih kurang 100 tahanan wanita dengan satu tandas dan doktor juga datang seminggu sekali.

Nisa yang ditangkap Jabatan Imigresen pada 9 Disember lepas semasa berjalan di bandar Sandakan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri berkata tahanan juga tidak berebut-rebut untuk mendapatkan makanan.

Malah saksi itu yang datang ke Sabah pada Oktober 2011 berkata keperluan wanita juga disediakan pada setiap bulan.

Nisa yang bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di Sandakan dengan gaji RM100 sebulan itu juga bersetuju dengan soalan pegawai pengendali Jamil Aripin bahawa dia tidur di atas simen di pusat tahanan itu.

Ketika ditanya bila dia akan dihantar pulang ke negaranya, Nisa berkata dia tidak tahu.

Menceritakan bagaimana dia sampai ke Sabah, saksi itu berkata dia datang menaiki kapal barang bersama 10 yang lain dari Sulawesi ke Tawau dan di situ ada kawannya bernama "Iwan" menunggunya dan membawanya ke Sandakan.

Nisa, 30, memberitahu bahawa sepanjang perjalanan dari Tawau ke Sandakan dia tidak pernah diperiksa oleh mana-mana pihak berkuasa.

Saksi ke-41, Degon Amy dari Tawi-Tawi, Filipina juga berkata keadaan di PTS adalah baik, iaitu ada 170 tahanan di satu blok dengan tiga tandas dan makanan disediakan tiga kali sehari.

Degon, 23, yang ditahan di pusat itu pada November lepas berkata beliau datang ke Sabah pada 2002 ketika berumur 13 tahun dan ketika berumur 15 dia bekerja sebagai konduktor bas sehingga dia ditangkap.

Dia yang datang ke Sabah tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri juga berkata selepas dihantar balik ke negaranya, dia berhasrat datang semula ke Sabah menggunakan pasport Filipina untuk mencari kerja kerana di negaranya gaji adalah rendah.

Sementara itu saksi ke-38, Lung Sim Yee, yang berasal dari China menangis teresak-esak semasa ditanya Jamil bahawa ayahnya yang meninggalkannya dan ibunya, telah datang ke Malaysia dan berkahwin dangan rakyat negara ini.

Lung, yang juga berkahwin dengan lelaki negara ini mengambil masa beberapa minit untuk menenangkan dirinya sebelum memberikan jawapan "Ya".

Wanita itu berkata dia bersama ibu dan seorang adik perempuannya pada mulanya ke Hong Kong untuk mencari bapanya tetapi setelah mendapat tahu ayahnya berada di Malaysia mereka ke Tawau tiga tahun kemudian.

Lung yang memberi keterangan dalam bahasa Mandarin juga berkata selepas berkahwin dengan suaminya pada 1986, beliau memohon mendapatkan taraf kewarganegaraan seterusnya memohon kad pengenalan biru.

Saksi itu yang kurang fasih berbahasa Melayu berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah semasa membuat permohonan itu di Jabatan Pendaftaran Negara kerana suaminya rakyat tempatan dan dia juga telah mendaftar sebagai pengundi tahun lepas.

Bagi pelarian Filipina yang tinggal di skim penempatan Kg Tongkang, Kota Kinabalu, Rasad Salleh berkata Pasukan Petugas Khas telah menyediakan kemudahan di tempat itu antaranya bekalan elektrik, air dan sekolah agama kepada anak-anak mereka.

Rasad yang datang ke Sandakan pada 1979 berkata terdapat 112 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 666 orang dan kebanyakan mereka memiliki IMM-13, iaitu dokumen pengenalan diri sementara yang diberikan kepada pelarian Filipina.

Waja Atik, yang tinggal di skim penempatan Pulau Berhala di Sandakan pula memberitahu penduduk di situ menggunakan air perigi dan generator untuk bekalan elektrik.

Saksi itu yang tinggal di penempatan itu sejak 1980 berkata sekolah disediakan kepada kanak-kanak berumur 7 tahun hingga 12 tahun selain klinik tentera. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan