TPM Umum RM500,000 Bina Dewan Masyarakat Baru Kg Sungai Apong

Diterbitkan: Isnin, 28 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Penduduk Kampung Sungai Apong Baru di sini menerima berita gembira pada Isnin apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelulusan peruntukan RM500,000 untuk membina dewan masyarakat baru di kampung itu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) membuat pengumuman itu ketika berucap pada majlis santai bersama penduduk di dewan masyarakat di situ.

Beliau dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Sarawak.

"Saya tengok ada permohonan untuk membina dewan baru berharga lebih kurang RM400 ribu, jadi saya bagi (luluskan) setengah juta (RM500,000) termasuk dengan alatan, kerusi, meja dan alat pembesar suara.

"Kerajaan BN (Barisan Nasional) mahu semua rakyat mendapat kehidupan yang baik, sejahtera dan bahagia, justeru usaha melengkapkan keperluan penduduk akan diteruskan.

"Di Sarawak, kita telah sediakan peruntukan lebih besar untuk pembangunan di semua kawasan termasuk luar bandar, pedalaman, dan pinggir bandar," katanya dan disambut tepukan gemuruh penduduk kampung.

Terdahulu, ketibaan Muhyiddin ke kampung itu disambut dengan tarian 'Ngajat', tarian kebudayaan kaum Iban yang ditarikan lima anak muda sebelum Ketua Kaum Jeffery Kemping Duin memakaikan beliau 'baju burung' bermotif pua kumbu.

Ketibaan Muhyiddin turut dirai dengan tarian 'Langgi' (tarian selamat datang) oleh lima penari dari kaum Bidayuh. Beliau kemudian bersarapan bersama anggota keluarga Datuk Temenggong Kanang Langkau serta penduduk kampung.

Sementara itu, Kemping, 68, berterima kasih kepada kerajaan BN kerana meluluskan peruntukan membina dewan masyarakat yang baharu tersebut.

"Ini lawatan pertama Timbalan Perdana Menteri ke kampung ini, tapi beliau sudah luluskan peruntukan sebanyak RM500,000, saya selaku ketua kaum di sini amat berterima kasih kepada kerajaan BN," katanya yang ditemui selepas majlis.

Menurutnya dewan itu diguna untuk aktiviti penduduk seperti kelas menjahit, bermain badminton, sepak takraw, futsal serta tempat latihan tarian kebudayaan.

Bagi Harold Johnny Kamar, 44, guru latihan tarian kebudayaan kaum Bidayuh yang teruja dengan kehadiran Muhyiddin berkata, kumpulan tariannya melakukan persediaan sejak dua minggu lalu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan