Kerajaan Peruntuk RM24 Juta Untuk Projek Kemudahan Asas Di Mukim Bukit Kepong - TPM - Berita Semasa | mStar

Kerajaan Peruntuk RM24 Juta Untuk Projek Kemudahan Asas Di Mukim Bukit Kepong - TPM

Diterbitkan: Jumaat, 25 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Kerajaan memperuntukkan RM24 juta bagi pelaksanaan projek kemudahan asas di Mukim Bukit Kepong di sini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata projek itu ialah pembaikan sebahagian jalan pintas sejauh 20 kilometer dari Bukit Kepong ke Felda Maokil, Labis, sejumlah RM20 juta dan pembinaan kompleks serbaguna di Pekan Bukit Kepong berharga RM4 juta.

"Saya sudah minta Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membaiki kerosakan di sebahagian Jalan Bukit Kepong-Maokil.

"Pembinaan jalan pintas itutelah dan akanmemberi manfaat kepada pengguna-pengguna jalan raya kerana ia dapat memendekkan tempoh perjalanan dari Bukit Kepong ke Maokildari sejam kepada hanya setengah jam sahaja," katanya ketika berucap di majlis bersama masyarakat Orang Asli di Balai Raya Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong di sini, Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM120,000 untuk pembinaan balai raya di Kampung Orang Asli Bukit Panjang di mukim itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan anggota Parlimen Pagoh berharap dengan pembinaan semua kemudahan itu, dapat meningkatkan taraf hidup dan produktiviti penduduk setempat termasuk masyarakat Orang Asli.

Katanya kesediaan kerajaan melaksanakan projek pembangunan seumpama itu yang merupakan usaha berterusan adalah bukti kerajaan prihatin terhadap masalah rakyat.

"Kalau dahulu tidak ada jalan, kita bina jalan agar penduduk dapat kemudahan, kita bina sekolah supaya anak-anak kita di luar bandar menjadi lebih cerdik, kita bekalkan air bersih supaya kesihatan rakyat terjamin," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan penduduk dan masyarakat Orang Asli di kawasan itu supaya tidak terpengaruh dakyah pembangkang yang memburuk-burukkan kerajaan terutama menjelang pilihan raya umum ke-13.

Beliau mahu mereka mengekalkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memastikan momentum pembangunan dapat diteruskan.

Sementara itu pada majlis sembang santai bersama masyarakat Tionghua di halaman Tokong Taman Sg Meda, Bukit Kepong, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf jalan dan kemudahan asas di dua buah tokong di kawasan itu dan pembinaan padang Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kepong. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan