MCA Bantu Dalam Pencarian William

Diterbitkan: Isnin, 21 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: MCA memulakan pencarian William Yau Zhen Zhong yang berusia enam tahun di kawasan komersial SS2 dengan mengedarkan risalah mengenai kanak-kanak lelaki itu.

Anggota Pasukan Khidmat 1PJ berada di sepanjang jalan pada tengah hari Isnin dengan mengedarkan sebanyak 500 poster berukuran A4 yang mempunyai gambar kanak-kanak itu dan maklumat kepada pemilik premis komersial, orang awam dan polis.

Mereka turut meminta orang awam untuk menghubungi pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai kanak-kanak lelaki itu.

Orang ramai meluahkan rasa simpati terhadap insiden yang berlaku ke atas William dan berharap dia akan pulang ke rumah tidak lama lagi.

"Saya mempunyai tiga adik-beradik yang masih kecil berusia antara lapan dan 12 tahun, dan saya bimbang tentang keselamatan mereka sepanjang masa. Saya berharap agar ibu bapa mereka akan mendapat berita baik tidak lama lagi," kata seorang penghantar makanan segera, Ridzuan Bohari.

Timbalan Ketua MCA Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk C.K. Lim berharap agar Willam akan kembali segera untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama kedua-dua ibu bapanya.

William hilang pada Rabu lalu selepas dia ditinggalkan bersama dua beradiknya di dalam kereta oleh ibu bapa mereka yang keluar pergi ke kedai peralatan elektrik di Putra Heights.

Sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk yang kukuh mengenai di mana William berada.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan