Rakyat Selangor Ada Kuasa Tentukan Langat 2 Diteruskan Atau Tidak - Adnan Yaakob - Berita Semasa | mStar

Rakyat Selangor Ada Kuasa Tentukan Langat 2 Diteruskan Atau Tidak - Adnan Yaakob

Diterbitkan: Sabtu, 19 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Rakyat di negeri Selangor mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada projek bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor atau projek Langat 2 boleh diteruskan atau sebaliknya iaitu dengan mengembalikan semula pemerintahan negeri Selangor kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kuasa itu sebenarnya terletak di tangan mereka walaupun Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mempunyai kuasa membatalkan projek pembekalan air ke Lembah Klang.

"Kalau mereka ingin mendapatkan bekalan air tanpa sebarang gangguan, mereka seharusnya berfikir untuk mengembalikan semula pemerintahan negeri Selangor kepada kerajaan Barisan Nasional.

"Kerajaan BN sentiasa prihatin dan mengutamakan kebajikan rakyat dan sudah tentunya tidak akan membiarkan penduduk Lembah Klang menghadapi masaalah gangguan bekalan air seperti yang berlaku pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada 445 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chemomoi dan Sekolah Kebangsaan Pelangai di sini, Sabtu.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat negeri Selangor supaya membuat perbandingan semasa era kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim daripada kerajaan PKR dengan BN.

Menyentuh mengenai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Adnan berkata BN Pahang kini telah bersiap sedia untuk membuka bilik gerakan di semua bahagian selewat-lewatnya bulan depan.

Mengenai bantuan awal persekolahan, Adnan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pelangai berkata, walaupun bantuan persekolahan tersebut hanya sekadar RM100 sahaja tiap seorang, tetapi ia membuktikan bahawa kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sangat prihatin dengan kepentingan rakyat.

Katanya, jika dibandingkan negara-negara lain, ada kalangan rakyat atau pelajarnya yang tidak menerima bantuan seumpama itu. "Pemberian pelbagai bantuan kepada rakyat bukan kerana sebab pilihan raya semakin hampir, tetapi kerajaan sejak dahulu lagi memberikan pelbagai bantuan termasuk bantuan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia)," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan