KL112 Diadakan Untuk Gulingkan Kerajaan (Tapi Melalui PRU-13...) - Mat Sabu

Diterbitkan: Khamis, 17 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) diadakan untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun, Penganjur Sekteriat KL112, Mohamad Sabu berkata mereka akan hanya menjatuhkan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

"Memang kami ada niat untuk menggulingkan kerajaan pada PRU.

"Bohong lah saya kalau tidak ada niat itu (gulingkan kerajaan). Kami memang hendak gulingkan kerajaan tapi dalam PRU," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa penganjuran KL112 Sabtu lalu menunjukkan pakatan pembangkang mempunyai niat untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat melalui cara yang ditiru dari negara-negara Arab.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, kaedah menggulingkan kerajaan dari benua Arab yang ingin digunakan pembangkang itu bagaimanapun tidak menunjukkan ciri-ciri demokrasi serta tidak kena pada tempatnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia yang telah memberikan kerjasama dengan Unit Amal PAS dan Angkatan Muda Keadilan dalam menjaga keselamatan para peserta himpunan.

"Ini merupakan detik bersejarah kerana tiada kecelakaan dilaporkan pada himpunan tersebut.

"Daripada kutipan derma kilat yang kita buat dalam Stadium Merdeka kita berjaya mengumpulkan RM268,802. Wang ini kita akan gunakan untuk menggerakkan jentera untuk menuntut pilihan raya yang adil," katanya.

Berhubung perlanggaran tiga syarat yang ditetapkan oleh polis dalam menganjurkan perhimpunan tersebut, Mohamad yang juga timbalan presiden PAS berkata, setakat ini pihaknya masih belum dipanggil oleh polis untuk memberi kenyataan.

"Setakat ini kita belum dipanggil. Kita janji akan beri kerjasama dengan pihak polis sama ada sebelum mahupun selepas himpunan diadakan," katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli Jawatankuasa KL112, Hishamuddin Rais berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat itu turut di adakan di beberapa tempat seperti Melbourne, Sydney, Jordan, Mesir dan London.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan