Zoo Negara Bakal Terima Dua Panda Gergasi Dari China Mei 2014 - Berita Semasa | mStar

Zoo Negara Bakal Terima Dua Panda Gergasi Dari China Mei 2014

Diterbitkan: Rabu, 16 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Zoo Negara bakal menaikkan reputasinya sebagai destinasi tarikan pelancong apabila sepasang beruang panda gergasi dari China, Fu Wa dan Feng Yi, ditempatkan di situ bermula Mei 2014.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata Kabinet membuat keputusan itu setelah mendapat maklum balas pelbagai pihak dan meneliti segala keperluan untuk penempatan kedua-dua panda berkenaan.

Beliau berkata Zoo Negara memenuhi segala keperluan dan sesuai untuk pembinaan ekshibit khas untuk panda, yang sebelum ini dijangka ditempatkan di Taman Wetland, Putrajaya.

"Ekshibit Giant Panda yang bakal dibina ini mempunyai keluasan 1.6 ekar (0.64 hektar) akan dilengkapi suhu kurang daripada 24 darjah Celsius dan mempunyai kemudahan yang menyamai habitat asalnya," katanya pada sidang media semasa lawatan kerjanya ke Zoo Negara, Rabu.

Turut hadir Presiden Zoo Negara Datuk Seri Zaharin Md Arif.

Kata Uggah kos pembinaan ekshibit dianggarkan RM25 juta dan RM15 juta daripadanya akan ditanggung oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala selebihnya oleh kerajaan.

Tempoh pembinaan akan mengambil masa kira-kira setahun bermula Jun ini dan dianggarkan siap sepenuhnya pada April 2014 sebelum panda itu dipindahkan pada bulan Mei, katanya.

Sementara itu, Zaharin berkata pihaknya akan mengendalikan sepenuhnya makanan serta kos kehidupan harian kedua-dua panda itu.

"Makanan utama mereka adalah buluh dan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, program penanaman buluh akan dimulakan di kawasan seluas 40 ekar (16 hektar) untuk haiwan itu yang memerlukan kira-kira 25kg buluh sehari," katanya.

Beliau berkata program penanaman buluh dimulakan di Paya Indah Wetlands, Dengkil dengan dikendalikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

"Pihak FRIM juga mengenal pasti enam spesies buluh tempatan yang sesuai ditanam sebagai sumber makanan pasangan panda gergasi itu dan dijangka ditanam di kawasan-kawasan itu (Zoo Negara dan Paya Indah Wetlands)" katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tiket lawatan ke Zoo Negara akan dijual berasingan sebaik sahaja kedua-dua ekor panda itu ditempatkan di sana.

"Bagaimanapun, kami menyasarkan jumlah kehadiran pengunjung ke Zoo Negara akan meningkat kepada 10 juta setiap tahun," katanya.

Malaysia akan menerima sepasang beruang panda gergasi menerusi perjanjian kerjasama konservasi antarabangsa panda gergasi yang ditandatangani dengan China pada 15 Jun 2012.

Program kerjasama itu merupakan simbol ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan diraikan pada tahun 2014.

Pasangan panda gergasi dinamakan Fu Wa dan Feng Yi oleh Kerajaan Republik China itu dijangka bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China tetapi juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan hidupan liar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan