Pos Malaysia Tawar Kadar Purata 50 Sen Bagi Kad Tahun Baru Cina - Berita Semasa | mStar

Pos Malaysia Tawar Kadar Purata 50 Sen Bagi Kad Tahun Baru Cina

Diterbitkan: Selasa, 15 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad menawarkan kadar purata 50 sen bagi kad ucapan Tahun Baru Cina yang dihantar ke mana-mana sahaja di dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Pos Malaysia Datuk Khalid Abdol Rahman berkata kadar itu terpakai bagi semua saiz kad ucapan perayaan dengan berat tidak melebihi 50gm.

"Dengan perkembangan terkini teknologi maklumat dan komunikasi seperti e-mail, SMS dan kad percuma, kami memahami bahawa rakyat Malaysia akan memilih alternatif digital ini.

"Bagaimanapun, masih ramai yang menghargai sentuhan peribadi apabila menyampaikan sendiri ucapan selamat menggunakan kad kepada sahabat handai dan orang tersayang.

"Oleh itu kami ingin menggalakkan rakyat Malaysia supaya menghantar kad ucapan semasa musim perayaan ini dengan memperkenalkan kadar bayaran pos purata," katanya menerusi satu kenyataan, Selasa.

Beliau berkata kadar bayaran pos purata bagi kad perayaan adalah 28 peratus lebih murah daripada mel biasa dengan berat bawah 50gm.

Khalid berkata kadar bayaran pos biasa bagi mel standard dengan berat bawah 20gm adalah 60 sen dan 70 sen bagi mel bawah 50gm.

Bagaimanapun kad ucapan ke destinasi antarabangsa akan dikenakan bayaran mengikut kadar bayaran mel udara, katanya.

Pelanggan boleh mengunjungi pejabat Pos Malaysia terdekat atau melayari laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my bagi maklumat lanjut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan