Perhilitan Bimbang Isu Orang Asli Bekal Daging Eksotik Kepada Restoran

Diterbitkan: Selasa, 15 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bimbang mengenai isu penglibatan Orang Asli dalam membekalkan daging eksotik daripada pelbagai jenis haiwan yang dilindungi kepada restoran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rasid Samsudin berkata, kebimbangan itu berdasarkan beberapa tangkapan yang dibuat oleh jabatan itu menerusi operasi hendap di beberapa negeri.

“Setakat ini, sebanyak 15 kes melibatkan Orang Asli telah dibawa ke mahkamah yang mengendakan hukuman denda dan penjara.

"Diharapkan ia sebagai satu langkah pencegahan dan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan dalam ruangan “Views” (pandangan) yang disiarkan dalam akhbar The Star pada Selasa.

Pandangan beliau itu merupakan maklum balas kepada sepucuk surat yang disiarkan dalam ruangan “Opinion” (Pendapat) yang bertajuk “Demand for exotic meats” (Permintaan untuk daging eksotik), dalam akhbar The Star bertarikh 10 Januari 2013.

Abdul Rasid berkata, sejumlah 997 program kesedaran dikendalikan oleh jabatan itu pada tahun 2011 di mana kira-kira 245 program berkaitan dengan masyarakat tempatan yang menetap di kawasan yang dilindungi.

Sehingga suku ketiga 2012, katanya, Perhililitan mengendalikan 586 program kesedaran.

“Jabatan sentiasa memantau restoran yang menjual daging hidupan liar dan terus memantaunya dengan teliti.

“Dalam beberapa kes, maklumat daripada orang ramai telah membantu kepada penangkapan pemilik restoran,” katanya.

Menurut Abdul Rasid, sebanyak 60 kes dibawa ke mahkamah dan denda yang tertinggi dikenakan ialah RM100,000.

“Sehingga suku ketiga 2012, terdapat 340 kes melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Abdul Rasid berkata, diakui bahawa amalan memakan daging eksotik bukan menjadi satu larangan kepada negara ini sahaja tetapi dilihat sebagai budaya hidangan di sesetengah kawasan di rantau ini.

Bagi mengekang aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram, katanya, Perhilitan memperhebatkan usahanya menerusi penguatkuasaan dari masa ke semasa.

“Pendekatan inovatif seperti Strategi Lautan Biru diamalkan dalam strategi penguatkuasaan jabatan bagi membantu memperkukuh, memperbaiki dan memperkasakan aktiviti penguatkuasaan.

“Jabatan mendapati bukan mudah untuk membanteras perdagangan hidupan liar secara haram, maka kami bekerjasama rapat dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengatasinya,” katanya.

Beliau menambah, orang awam juga dialu-alukan untuk memberi kerjasama dengan jabatan bagi memastikan hidupan liar di Malaysia dipelihara.

“Anda (orang awam) boleh menghubungi talian 1300-80-1010 atau 1800-88-515 sekiranya terdapat maklumat mengenai aktiviti haram berkaitan dengan hidupan liar,” katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan