Lima Lagi Kawasan Alami Gangguan Bekalan Air

Diterbitkan: Selasa, 15 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Belumpun reda kejadian gangguan bekalan air ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu, Syabas mengumumkan gangguan bekalan air tidak berjadual di lima kawasan lain yang disebabkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasinya berikutan pencemaran di sungai itu.

Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Ir Lee Miang Koi berkata kawasan terlibat ialah Petaling membabitkan 118,000 akaun, Hulu Langat (125,000), Sepang (65,000), Klang (19,000) dan Kuala Langat (22,000).

"Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang diurus oleh operator loji, Syarikat Konsortium Abass, terpaksa dihentikan operasi sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi kerana mengesyaki berlaku pencemaran minyak kelapa sawit di Sungai Semenyih.

"Pada masa ini, Syabas sedang mengenal pasti kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan ekoran langkah menghentikan operasi loji itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna supaya mengurangkan penggunaan air selain menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

Lee berkata Syabas juga telah menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mendapatkan kerjasama dalam menyediakan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik memandangkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih diurus oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata kerjasama itu juga perlu kerana aset Syabas masih terikat dengan insiden gangguan bekalan air yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju.

"Memandangkan sumber dan kualiti air mentah adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Seangor (LUAS), maka adalah wajar untuk Syabas mendapatkan kerjasama ini," katanya. Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 24 jam 1800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222 selain menggunakan laman Twitter dan Facebook yang disediakan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan