Kaji Balik Keputusan Jual Kuarters MPK - Cuepacs

Diterbitkan: Selasa, 15 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan negeri Selangor mengkaji semula keputusan menjual sebuah blok kuarters perumahan pekerja Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Bukit Tinggi di sini menerusi sistem tender terbuka.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman, berkata ini kerana sistem itu tidak menjamin keadilan kepada 17 keluarga yang menghuni blok kuarters empat tingkat itu sejak 12 tahun lepas.

"Cuepacs membantah sekeras-kerasnya keputusan ini kerana penghuni kuarters sepatutnya diberi tawaran untuk membeli 17 unit kuarters itu terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan penghuni terbabit di MPK di sini, Selasa.

Omar berkata keputusan kerajaan negeri menggunakan mekanisme sistem tender terbuka untuk menjual kuarters itu akan menyebabkan ada pihak nanti yang membuat tawaran tertinggi membeli kuarters itu dan sekaligus tidak menjamin keadilan kepada penghuni yang terdiri daripada penjawat awam kumpulan sokongan.

Omar berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri ketika dihubungi, berkata MPK memang berhasrat menawarkan penghuni kuarters membeli unit kuarters itu tetapi kerajaan negeri membuat keputusan menjual bangunan itu secara sistem tender terbuka untuk mendapat best 'value for money'. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan