Tindakan Akan Diambil Jika Ada Bukti Kanak-Kanak Di Bawa Ke Perhimpunan KL112 - Peguam Negara

Diterbitkan: Isnin, 14 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan sekiranya bukti-bukti lengkap dapat dikemukakan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata Akta Perhimpunan Aman 2012 telah menetapkan larangan penyertaan kanak-kanak dan ia sepatutnya dipatuhi kerana golongan itu harus dilindungi. "Undang-undang telah tersedia ada, sekiranya terdapat bukti kita (pendakwaan) akan mengambil tindakan, sekiranya tiada (bukti) kita tidak boleh mengambil tindakan. saya tidak terlebih dahulu menghukum," katanya yang ditemui pemberita selepas sidang pleno dalam Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini, Isnin.

Katanya larangan penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan awam bukan sahaja ditetapkan di negara ini tetapi juga diamalkan di beberapa negara Eropah.

Akta Perhimpunan Aman 2012 melarang mereka yang berusia di bawah 15 tahun menyertai atau dibawa ke sesuatu perhimpunan. Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis mendapati penganjur perhimpunan di Stadium Merdeka melanggar beberapa syarat yang dipersetujui termasuk membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun. Sementara itu, dalam pembentangannya bertajuk 'Keseimbangan antara kepentingan negara dengan hak asasi', Abdul Gani berkata pemansuhan Seksyen 27 Akta Polis dan digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah bagi membawa undang-undang Malaysia berhubung kebebasan berhimpun selari dengan norma-norma hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

"Akta baru itu merupakan model undang-undang Australia dan Kanada. Akta baharu itu telah dikritik sebagai terus menghalang kebebasan berhimpun dan bukan meliberalisasikannya," katanya.

Abdul Gani berkata sejak 1967 sehingga April 2012, ratusan perhimpunan awam telah diadakan, kebanyakannya selari dengan keperluan permit. Bagi tempoh 2007 hingga April 2012, dasar yang sama masih dilaksanakan polis dan jika ada maklumat menunjukkan keselamatan dan ketenteraman awam boleh dikompromi, permit akan dikeluarkan.

"Bagaimanapun, dalam tempoh lima tahun, 601 kertas siasatan dibuka berhubung perhimpunan awam yang diadakan. Sejak 23 April 2012 di bawah akta baharu, 47 perhimpunan awam diadakan tanpa perlu mendapat permit terlebih dahulu.

"Kebanyakannya, jika tidak semua, tidak dipenuh dengan peristiwa dengan pengecualian ketara dalam perhimpunan Bersih 3.0," katanya.

Beliau berkata, telah terbukti persepsi kerajaan mengenai kesediaan masyarakat awam Malaysia untuk berubah kepada mode yang lebih demokrasi tetapi ia banyak bergantung ke atas tindakan bertanggungjawab penganjur dan peserta mematuhi undang-undang.

Abdul Gani juga berkata keputusan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dianggap orang awam dan masyarakat sivil sebagai petanda sihat kebebasan dan perkembangan bidang kehakiman agar selaras dengan keperluan yang semakin meningkat dan kematangan generasi baru.

"Ia juga selaras dengan norma-norma hak asasi mansuia yang diktiraf di peringkat antarabangsa mengenai kebebasan berpersatuan dan memberi pendapat dan layanan yang sama mengikut undang-undang," katanya.

Abdul Gani juga berkata usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dalam Wawasan 2020 juga bergantung kepada perkembangan sistem perundangan negara selain pelabur asing agar mereka menaruh keyakinan dengan kerajaan.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini dianjurkan Jabatan Peguam Negara, Razak School of Goverment dan Institut Terjemahan & Buku (ITBM) yang bertujuan memberi penjelasan lanjut mengenai transformasi beberapa bahagian undang-undang yang dilakukan di negara ini.

Ia disertai 600 peserta dari seluruh negara dengan mengetengahkan 16 tajuk perundangan keselamatan dan hak asasi. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan